PEMERGIAN Allahyarham Abam Bocey akibat demam panas pada 10 Februari 2020 bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga malah pengasas Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah di Sungai Pusu, Selangor iaitu Esah [email protected] turut bersedih.

Menurut Esah,68 atau mesra disapa sebagai nenek berkata, arwah Abam dan Allahyarham ibunya iaitu Sabariah Arshad merupakan insan yang banyak membantu mereka dalam pelbagai sudut.

“Keluarga arwah Abam memang banyak membantu nenek dan anak-anak di pertubuhan. Sebelum kami mengenali Abam, ayah dan ibunya banyak membantu kami.

“Makan dan minum mereka sediakan sendiri dan berikan kepada kami. Bantuan ini kemudian diteruskan oleh Abam. Pesannya kepada nenek yang dipanggilnya ibu, segala apa yang diberikan jangan diceritakan kepada sesiapa.

“Apabila dia meninggal pada tarikh itu, nenek terpaksa bercerita kepada media sebab itu adalah perkara baik, bukan cerita yang buruk,” katanya kepada URTV.

Esah ditemui pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Datuk Aishah & Ezad Lazim di Grand Barakah Hotel Ampang, semalam.

Tambah Esah lagi, selain Abam, dua lagi ahli Bocey iaitu Achey dan Fad turut sama menghulurkan bantuan sumbangan kepada rumah kebajikan terbabit.

Kata Esah, apa sahaja pertandingan yang mereka sertai dan jika direzekikan untuk menang, mereka tidak pernah lupa untuk menyerahkan sedikit daripada wang kemenangan tersebut.

“Bila mereka berjaya dalam Maharaja Lawak atau apa juga pertandingan, dia akan datang kepada nenek dan menghulur kewangan tapi dia minta untuk jangan hebohkan.

“Rasanya sebelum Abam tinggalkan kami buat selama-lamanya, dia belikan baju sekolah kepada adik-adik di sini. Tapi selepas itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah ditutup.

“Jadi baju itu dipakai berselang-selang sehingga hari ini. Sekarang dah tiada lagi yang datang kepada nenek untuk hulur bantuan selepas arwah Abam,” jelasnya.

Justeru, Esah meluahkan harapan dan berdoa agar akan ada pelawak atau artis yang akan mewarisi sikap Allahyarham.

“Sekarang sesekali nenek berjumpa adiknya, Ali. Dulu, Abam akan serahkan sendiri sumbangan. Sebelum sertai Maharaja Lawak, dia dah memasak makan minum untuk kami.

“Apa saja majlis walau sekecil mana pun, kamilah orang pertama yang disuruh makan. Nenek kenal keluarga dia bila berpindah ke Batu 8 3/4 Gombak. Mereka memang suka menjamu orang makan.

“Sekarang nenek bukan setakat sukar kehidupan kerana kewangan…bukan. Kami turut merasa kehilangan. Dulu bila nenek mengadu, ‘Abam…ibu nak makan mee goreng, ibu nak makan nasi lemak’, dia akan segera masakkan.

“Sekarang ini, Semua dah tiada lagi. Nenek dah tak jumpa orang sepertinya,” ujarnya dengan nada sebak.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan kepada Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah dengan cara membeli tiket menyaksikan persembahan Aishah dan Ezad Lazim pada 7 April nanti di Grand Barakah Hotel Ampang.

Selain berbuka puasa dengan penghuni rumah ini yang dibawa bersama, penganjur, Xutfilm Studio turut akan menyumbangkan 15 peratus hasil jualan tiket kepada rumah terbabit.