dilema mualaf
Sekadar gambar perhiasan

Selain daripada perdebatan tentang istilah mualaf, masyarakat Islam di Malaysia khususnya masih tidak lagi memahami isu sebenar mualaf. Mereka yang kononnya lebih tahu tentang Islam dek kerana mengamalkan ajaran Islam sejak dari lahir, sering memberi tekanan kepada yang baru memeluk Islam perihal hukum halal haram.

Menurut Pendakwah Bebas, Dr. Faisal Abdurrahman, masyarakat Malaysia terlampau memberi tekanan kepada isu-isu fiqah yang furu’. Dalam isu makanan contohnya, jika mualaf itu masih tinggal dengan keluarganya sedangkan dia belum lagi isytiharkanpengislamannya, adakah dia perlu elak makan bersama keluarga? Dan adakah dia perlu samak?

“Dalam situasi ini, saya berpandangan berdasarkan pendapat sesetengah ulama bekas makanan tidak perlu disamak. Cukup sekadar basuh dengan sabun. Katakan dia tidak isytihar lagi pengislamannya, dan ia samak bekas makanan itu, jadi apa agaknya yang akan berlaku?

“Dan sekiranya ia sudah isytiharkan pengislamannya, dan ia samak bekas tersebut, sudah pasti keluarganya akan berfikir bahawa Islam adalah agama yang sukar. Justeru itu ada sesetengah ulama melihat isu ini cukup sekadar basuh dengan sebersihnya sahaja,” terangnya.

Tambahnya, sepatutnya mualaf perempuan yang membantu ibu mereka memasak boleh bertindak sendiri dengan cara yang paling halus melalui kebijaksanaan. Misalnya mengawal segala jenis bahan yang hendak dimasak, pilih yang halal.

Namun dalam masa yang sama tetap juga menggunakan peralatan yang sama, setelah dipastikan ia bersih. Akan tetapi masyarakat kita masih tidak boleh menerima keadaan ini. Situasi inilah yang menjadikan mereka (mualaf) tertekan.

Masyarakat selalu cuba untuk menjadi ustaz dan ustazah kepada mualaf, sedangkan mereka tidak tahu apa yang hendak diajar. Bukan tidak boleh membantu, tetapi cubalah tolong dari sudut yang lain. Contohnya memberi sokongan moral, membantu dalam mencari kelas-kelas agama dan pelbagai lagi.

Ini tidak. Mereka dijadikan pula sasaran kecaman jika ada di kalangan mualaf yang tidak melaksanakan sesuatu tuntutan agama dengan sempurna. Sedangkan dalam sesuatu keadaan, kita sendiri tidak tahu apa masalah yang sedang mereka alami.

Bukankah dalam Islam, Allah S.W.T. telah sebutkan dalam al-Quran dan nabi s.a.w. pula telah mengajarkan dakwah dengan hikmah dan bijaksana, bukan dengan emosi dan kekerasan. Firman Allah surah an-Nahl: 25,

“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan berilah nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu jua yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah”

Istilah hikmah ialah ilmu, kepandaian, kebijaksanaan dan yang seerti dengannya atau dengan kata mudah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal dan dibenarkan pula oleh matlamat yang dikehendaki dalam sesuatu urusan.

Malah menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, makna yang paling tepat bagi hikmah ialah menempatkan sesuatu pada tempatnya. Dan inilah yang perlu difahami dengan tuntas oleh setiap umat Islam bukan hanya bersikap skeptikal terhadap golongan mualaf dengan anggapan mereka baru Islam jadi mereka tidak arif tentang Islam, sedangkan dalam Islam sendiri yang menjadi keutamaan dalam perhatian Allah adalah orang yang paling bertakwa bukan yang paling pandai.

Pendek kata tidak guna jika hanya pandai tapi tiada takwa. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’