Pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof dan pelakon, Puteri Sarah ketika hadir bagi merujuk kes mereka kepada Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGARAH filem Syamsul Yusof hari ini memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya iaitu pelakon Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

Permohonan itu difailkan Syamsul, atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof, 39, terhadap Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ,38, di hadapan Pendaftar Mahkamah Syariah Harun Hashim pada 3.10 petang.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Syamsul mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang tanpa pengetahuan beliau sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Selain itu, Syamsul mendakwa Puteri Sarah telah meninggalkannya selama lebih dua tahun dan ia bertentangan dengan kemahuannya.

Syamsul berkata pelbagai langkah dan usaha juga telah diambil untuk memujuk Puteri Sarah supaya kembali ke pangkuannya dan memerintah defendan supaya kembali taat namun wanita itu enggan sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan tidak benar, berunsur fitnah dan tohmahan terhadap dirinya. 

Sehubungan itu, Syamsul memohon supaya mahkamah mengisytiharkan Puteri Sarah telah nusyuz terhadap plaintif sejak Oktober 2020 dan defendan tidak berhak menerima nafkah isteri sejak tarikh nusyuz disabitkan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 61(3) (b)(i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Terdahulu, peguam Syarie Azmi Tan Seri Dr Mohd Rais yang mewakili pengarah filem Mat Kilau :Kebangkitan Pahlawan itu memaklumkan pihaknya akan menyerahkan saman kepada pihak Puteri Sarah dalam masa terdekat.

“Pada hari ini, Syamsul telah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dan kami baharu sahaja mendapat kebenaran untuk menyerahkan saman di luar bidang kuasa memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.

“Oleh itu, kami akan menyerahkan saman nusyuz ini dalam tempoh terdekat,” katanya yang turut memaklumkan bahawa sebutan kes itu ialah pada 6 April ini.

Mohd Shamsul ketika ditemui media berkata tujuan beliau memfailkan permohonan tersebut ialah untuk menyelamatkan kembali rumah tangga mereka kerana pelakon filem Munafik itu masih menyayangi isterinya.

“Saya mahu selamatkan rumah tangga kerana masih memikirkan anak-anak, kita nak cakap soal kesilapan, semua orang buat silap, isteri saya pun ada kesilapan juga,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul secara baik dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, pada 7 Mac lepas, Mohd Shamsul enggan menceraikan Puteri Sarah kerana tidak bersetuju dengan permohonan itu.

Pada prosiding itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memohon untuk melalui proses hakam keluarga tanpa melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan perceraian namun peguam Roshdan Sujak yang mewakili Syamsul membantah.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Akmaluddin Ilyas kemudian memerintahkan pasangan itu melantik wakil JKP selepas memutuskan bahawa tiada keadaan luar biasa dalam permohonan Puteri Sarah untuk tidak melalui proses JKP dan terus ke hakam keluarga.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Sumber: Bernama