Menampilkan dua bintang ternama, Datuk Adi Putra dan Nora Danish sebagai inspirasi, koleksi Starvillion Laskar Raya 2023 menampilkan kelainan daripada pemilihan fabrik sehingga kepada rakan strategik. Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Starvilion Sdn Bhd, Ajwad Khan Nasir Khan, pemilihan dua selebriti popular ini memberikan kelebihan kepada jenama mereka.

“Pemilihan Datuk Adi Putra dan Nora Danish sebagai duta kerana nilai mereka cukup tinggi dalam industri. Bukan hanya sekadar populariti, namun pertemuan pertama dengan Datuk Adi Putra adalah perbincangan mengenai strategi, bukannya soal bayaran.

“Dan Nora Danish saya letakkan sebagai ikon, dia bukan lagi influencer biasa. Jauh berbeza daripada yang lain. Nora telah meletakkan jenama kami pada tahap yang lebih tinggi dan berbeza daripada jenama lain,” jelasnya.

Koleksi Starvilion Laskar Raya 2023 hadir dengan tiga rekaan Baju Melayu, iaitu potongan slim-fit, relaxed-fit dan teluk belanga dengan lebih 80 pilihan warna.

Manakala koleksi wanita pula didatangkan dengan 16 rekaan utama dan lebih 120 rona warna dan corak. Kedua-dua koleksi lelaki dan wanita turut dilengkapi dengan saiz kanak-kanak.

Menurut Ajwad Khan, koleksi raya pada tahun ini diberi nafas baharu dari segi pemilihan fabrik.

“Pada tahun ini, kami membuat kelainan dengan pemilihan fabrik yang lain daripada yang lain. Fabrik yang paling mahal namun berbaloi dengan bajet ialah daripada Turkiye iaitu Bursa. Tidak perlu seterika dan kurang berkedut.

“Bursa ialah sejenis fabrik yang mengutamakan pengudaraan agar pemakai tidak panas, tekstur yang terasa mewah pada kulit dan kemasan matte finish,” ulasnya ketika ditemui.

Enam tahun menyelusuri industri fesyen, Starvilion merealisasikan hashtag ‘sama sama kita raya’ yang merupakan sebuah gerakan berteras kasih sayang, empati dan nikmat berkongsi. Hanya satu tujuan yang diinginkan, iaitu memastikan semua orang dapat sambut hari raya tanpa mengira latar belakang dan taraf hidup.

Gerakan bersifat amal ini turut mendapat sokongan dari rakan pertubuhan amal iaitu Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Qyyum dan KLOTH Cares Malaysia. Demi merealisasikan gerakan ini, terdapat lima manifesto yang Starvilion zahirkan iaitu membeli sambil menderma, Kotak Kitar Semula ‘Sama Sama Kita Raya’, Program Infak, Bawa balik baju raya hari ini, bayar kemudian!