Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata rakyat Malaysia perlu menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan utama dalam meningkatkan pendapatan mereka.
“Kita ingin rakyat berpendapatan tinggi. Sekarang rakyat mengeluh tentang kos sara hidup yang tinggi dan antara puncanya ialah harga barang naik dan pendapatan rendah. Kita mahu mereka berpendapatan tinggi dengan menjadi usahawan. Itu satu kaedah yang sangat mujarab untuk mengatasi kos sara hidup.
“Dan satu lagi kita melihat kadar pengangguran apabila mereka yang ada ijazah tetapi mendapat gaji STPM, manakala yang ada diploma dan STPM mendapat gaji SPM dan SPM pula mendapat gaji minima. Mengapa perkara itu berlaku? Kerana mereka bukan usahawan, mereka orang yang makan gaji. Sebab itu kita mahu rakyat Malaysia memilih usahawan sebagai kerjaya pilihan utama.
“Terdapat juga kajian ilmiah di mana lebih ramai kadar usahawan di sesebuah negara, lebih cepat negara itu maju. Jadi Hari Usahawan Negara itu bagi memastikan kesedaran terhadap kerjaya itu disebarluaskan dengan lebih baik,” ulasnya pada sidang media selepas menyempurnakan Prapelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2023.
Malah jelasnya, banyak bantuan ditawarkan kerajaan kepada rakyat Malaysia namun malangnya tidak ramai yang memohon dan tidak sampai kepada kumpulan sasaran. Atas sebab itu ulasnya untuk menjadi usahawan berjaya, mereka perlu meningkatkan ilmu dan pengetahuan sebagai modal pertama.
“Sekarang semua maklumat di hujung jari. Buat sahaja carian dan taip www.mof.gov.my dan segalanya ada di situ termasuk bantuan dan bajet 2023 kepada usahawan.
“Ini yang saya sebut modal pertama untuk usahawan bukan kewangan tetapi ialah ilmu dan maklumat supaya mereka boleh tahu bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan institusi kewangan,” katanya.
HUN 2023 akan diadakan pada 28 hingga 30 Julai di Dataran Putrajaya.