Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Datin Seri Norliah Che Mohamad menyifatkan penglibatan golongan wanita di dalam dunia keusahawanan dilihat lebih menyerlah lebih-lebih lagi dari kalangan ibu tunggal. Malah ulasnya cabaran hidup menyebabkan golongan ini cekal dan memberikan sepenuh komitmen atas rasa tanggungjawab kepada keluarga.
“Apa yang saya lihat, usahawan wanita lebih proaktif berbanding lelaki. Malah wanita ini kita lihat usahanya lebih keras terutamanya golongan ibu tunggal, walau sukar bagaimanapun, mereka akan cuba sehabis baik.
“Kebanyakan program yang kami buat pun lebih banyak menjurus ke arah golongan wanita dan kami jemput usahawan yang telah berjaya untuk memberi motivasi dan semangat bagi memberi peluang dan ruang bagaimana untuk berjaya,” ulasnya ketika ditemui pada majlis Prapelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2023 baru-baru ini.
Jelas Norliah, berdasarkan pengalaman menguruskan perjalanan usahawan wanita, walau apa cabaran dan tugasan yang diberikan, semuanya dilalui tanpa sebarang alasan.
“Sebenarnya matlamat utama wanita ini terutamanya ibu tunggal ini bukan untuk berjaya, namun atas rasa bertanggungjawab kepada keluarga. Mereka memberi komitmen tanpa rasa lelah, semangat mereka sangat kuat. Mereka tidak kisah untuk bangun seawal pagi untuk membuat kuih untuk dijual, semuanya diharungi tanpa rungutan.
“Berdasarkan pengalaman saya, golongan ibu tunggal ini tidak akan mengatakan ‘tidak’ kepada tugasan yang diberi, bak kata orang, semuanya boleh,” katanya.
Hari Usahawan Negara (HUN) merupakan pusat sehenti buat usahawan tempatan dan ia bertujuan membantu peniaga dan bakal peniaga menerusi perkongsian informasi dalam pelbagai program yang dianjurkan termasuk lot pameran daripada pelbagai agensi kerajaan.
HUN 2023 akan diadakan pada 28 hingga 30 Julai di Dataran Putrajaya.