Sejak dahulu, ramai orang membuat pengakuan pernah menemui makhluk asing. Namun agak berlainan dengan kisah seorang lelaki bernama Werner Jaisli ini. Lelaki Switzerland ini mendakwa telah menerima mesej daripada makhluk asing melalui kuasa telepati dan diarahkan untuk membina sebuah landasan untuk UFO mendarat.
Arahan itu diterima beliau ketika berada di bandar Forte Alto, Itali pada pada tengah malam di bulan November 2008. Menurut Jaisli, ketika itu dia sedang beristirahat di luar rumah sebelum bekalan elektrik terputus menjadikan suasana sekeliling gelap. Kemudian, muncul dua buah objek bercahaya yang terbang di atas Sungai Calchaquí pada ketinggian kira-kira 200 meter. Objek terbang itu bulat seperti piring gergasi. Permukaannya pula licin dan berkilat.
Menurut Jaisli, kedua-dua objek bercahaya itu terbang menghampirinya dan berada kira-kira 100 meter di atas kepalanya. Sangat dekat sehingga dia dapat merasakan pancaran cahaya yang sangat kuat. Peliknya, cahaya yang luar biasa terang itu sama sekali tidak menjejaskan penglihatannya.
Semasa diterangi cahaya UFO, Jaisli memberitahu bahawa otaknya terasa seperti ‘mendidih’. Sejurus itu, dia mendakwa menerima pesanan menerusi telepati daripada makhluk asing. Melalui pesanan tersebut, beliau diperintah supaya membina sebuah landasan untuk pendaratan kapal UFO.
Selepas menerima arahan itu, Jaisli pergi ke Argentina. Di sana, dia menetap di Cachi, sebuah bandar kecil di wilayah Salta. Padang pasir Salta cukup popular dalam kalangan ahli ufologi dan makhluk asing di seluruh dunia. Ini kerana sejumlah penampakan UFO serta fenomena-fenomena aneh pernah dilaporkan berlaku di sini sejak hampir tiga dekad yang lalu.
Setibanya di Cachi, Jaisli mula membina tempat pendaratan UFO yang dinamakan ovniport dengan corak bintang. Bentuknya berdiameter 48 meter, memiliki 36 buah bucu serta bintang kecil di tengahnya. Ia terbina daripada tumpukan batu-batu putih yang diambil dari gunung-gunung berhampiran. Manakala bintang kecil pula dihasilkan menggunakan timbunan batu gelap.


Apabila ditanya mengapa memilih corak ovniport, Jaisli memberitahu bahawa idea itu sebenarnya inspirasi daripada kehendak makhluk asing tersebut. Tugasnya cuma menyiapkannya mengikut apa yang makhluk itu mahukan.
Persoalannya, dengan cara apa beliau menyiapkan landasan sebesar itu seorang diri tanpa bantuan apa pun? Dari manakah pula dia mendapatkan kekuatan untuk mengumpul dan mengangkut bongkah-bongkah batu yang bersaiz besar kemudian disusun atur secara simetri dengan sempurna sekali?
Hal inilah yang membuatkan ramai berasa takjub dengan kebolehan Jaisli. Paling mengagumkan, keseluruhan seni bina itu hanya boleh diamati dengan jelas daripada ruang udara. Siapa pun pasti akan berasa sedikit kesulitan untuk melihatnya dari sudut pandang horizontal atau mendatar kerana ukurannya yang terlalu besar.
Selama bertahun-tahun, Jaisli dan karya uniknya itu sangat terkenal di seluruh dunia. Bahkan sampai ke hari ini, binaan tersebut masih terus dikunjungi oleh para peminat UFO. Ironinya, Jaisli tidak lagi seperti dahulu.
Difahamkan, lelaki berumur lebih 70 tahun itu pernah dipenjarakan pada tahun 2011 atas kesalahan mencuri dompet pasangan dari Uruguay. Selepas dibebaskan, Jaisli dilaporkan tidak lagi menetap di Cachi. Yang tinggal kini hanyalah binaan landasan UFO buatannya.



______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare