GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil 120 sampel makanan secara rawak di 62 bazar Ramadan di seluruh ibu negara bagi memastikan makanan dijual tidak tercemar sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata sampel makanan tersebut akan diambil secara berjadual setiap hari untuk dihantar ke Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan DBKL (FoSAC) bagi tujuan analisis.

Beliau berkata pengambilan sampel juga akan dilaksanakan sekiranya terdapat aduan atau kes keracunan makanan.

“Sekiranya terdapat sebarang pencemaran, kompaun akan dikeluarkan dan menyenarai hitamkan penjaja terbabit serta tidak dibenarkan mendapat lesen bazar Ramadan tahun depan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Taman Tasik Permaisuri di sini hari ini. 

Beliau berkata tindakan itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Petempatan Makanan 2016, UUK Pengendali Makanan 1979, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

BERITA BERKAITAN MCMC sokong inisiatif Melaka e-Tunai di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri

Mahadi berkata berdasarkan rekod terdapat 19.1 peratus pencemaran sampel makanan di bazar Ramadan dikesan pada tahun lepas yang menunjukkan penurunan berbanding 20.4 peratus pada 2021 dan 31.9 peratus pada 2019. 

“Ini menunjukkan operasi seumpama ini sangat berkesan bagi mengawal kualiti dan keselamatan makanan yang dijual di bazar Ramadan,” katanya.

Terdahulu, Mahadi melancarkan kempen Sifar Plastik Sekali Guna yang merupakan kesinambungan larangan dan penguatkuasaan penggunaan beg plastik, straw plastik dan bekas polisterina yang dikuat kuasakan di Wilayah Persekutuan sejak 2017.

Menerusi kempen tersebut, warga kota digalakkan membawa sendiri bekas dan beg guna semula semasa membeli-belah.

Larangan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap penjaja yang menjual barangan atau menggunakan beg plastik, straw plastik dan bekas polisterina.

Dalam pada itu, Mahadi berkata DBKL juga memperkenalkan Bazar Ramadan Rahmah yang melibatkan lapan peniaga trak makanan di tapak diluluskan iaitu di Jalan Raja, manakala 33 peniaga lagi di belakang Kompleks Campbell dan kawasan letak kereta Lot 4, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR). 

— BERNAMA 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram