PENYANYI Shiha Zikir akui mula berasa segan untuk menjawab soalan berkenaan bilakah dirinya akan berkahwin dengan teman lelaki yang dikenali sejak 12 tahun lalu.

Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir,36, dia percaya kepada perancangan Allah dan menyerahkan soal jodoh kepada takdir.

Malah, pelantun lagu Irama itu juga tidak pernah bertanyakan isu jodoh kepada rakan-rakannya yang masih belum berkahwin.

“Saya segan dan rasa bersalah sebenarnya nak cakap pasal jodoh. Saya anggap orang yang bertanya kepada saya itu sebagai satu doa untuk saya berkahwin.

“Soalan-soalan tentang kahwin ini agak sensitif bagi saya. Iyalah, umur pun sudah 36 tahun, dah tentu ada perancangan nak ke arah perkahwinan. Setiap orang ada kehidupan berbeza.

“Saya tak nak buat keputusan tergesa-gesa untuk kahwin. Orang mungkin anggap saya ini klise tapi itulah sikap saya yang sebenar sebab saya percaya masanya akan tiba (jodoh),” katanya kepada URTV.

Shiha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kenyataannya sebelum ini yang bakal berkahwin dengan kekasihnya, Kamarul Ariffin Baharun atau Arul pada tahun ini, kata Shiha dia masih belum dapat memperincikan lebih lanjut memandangkan masih menunggu tarikh sesuai.

“Saya serahkan soal jodoh pada Allah…cepat atau lambat, Insya-Allah, akan sampaikan waktunya saya nanti.

“Apa yang boleh saya cakap, setakat ini belum ada tarikh, tiada persiapan tetapi perancangan nak kahwin itu ada.

“Saya hanya mahukan sebuah majlis perkahwinan yang ringkas sahaja nanti,” kongsinya.