HUJAN. Curahan air yang turun membasahi bumi. Namun sebenarnya hujan juga mempunyai pelbagai jenis dan pengertian yang berbeza. Salah satunya ialah hujan gunung atau istilah saintifiknya, orografi.

Awal dahulu, para ilmuwan tidak menyedari terdapat hujan orografi di permukaan Bumi. Setelah ilmu meteorologi berkembang dan satelit cuaca dicipta, barulah para pengkaji mengetahui adanya jenis-jenis hujan termasuk hujan orografi. Dinamakan sedemikian kerana ia sering terjadi di kawasan pergunungan.

Di daerah pergunungan, terdapat udara yang mengandungi wap air. Angin kering atau biasanya disebut sebagai angin fohn yang ada di sekitar gunung akan membawa udara berisi wap air bergerak ke atas pergunungan dan mendaki lereng paling tinggi.

Semakin tinggi wap air dibawa oleh angin menyebabkan berlakunya penurunan suhu dan kemudian terkondensasi lalu membentuk awan gelap. Dari awan tersebut turunlah titisan air di lereng gunung atau disebut sebagai hujan orografi.

Kawasan pergunungan secara semula jadi menerima curahan hujan dan salji yang sangat banyak.

Para ilmuwan telah membuktikan bahawa kawasan pergunungan secara semula jadi menerima curahan hujan dan salji yang sangat banyak. Atas sebab itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga sedang mengkaji untuk membina sebuah gunung besar buatan manusia bagi mendapatkan lebih banyak hujan, seterusnya membantu mengatasi musim kemarau di negara itu.

Pakar dari National Center for Atmospheric Research (NCAR) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) telah ditugaskan untuk mengkaji kesan gunung tiruan yang boleh membantu mendapatkan hujan. Pasukan penyelidik memberitahu bahawa gunung buatan manusia itu bukan sahaja dapat membantu meningkat tahap udara bersih, bahkan mampu menghasilkan awan sama ada pembenihan awan atau menukar jumlah hujan.

Dengan demikian, air hujan yang turun dari kaki gunung itu dapat dimanfaatkan sebagai sumber air bersih untuk kegunaan harian. Sehingga dikatakan bahawa air hujan itu akan dapat memelihara lingkungan sekitar agar tetap subur seterusnya menjaga kelangsungan hidup semua makhluk, baik manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

Ahli sains mengetahui fungsi tanah tinggi dan manfaatnya sebagai simpanan air bersih selepas memasuki era zaman moden menerusi bantuan peralatan canggih. Sedangkan, hakikat tersebut sebenarnya telah tertulis jelas dalam al-Quran sejak 1,400 tahun dahulu.

Seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud; “dan Kami jadikan padanya gunung-gunung yang tinggi, dan Kami beri minum kamu dengan air tawar?” (Surah al-Mursalat, ayat 27)

Dalam ayat lain, Allah turut berfirman; “Dan Dialah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 3)

Dalam Kitab Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Jilid Empat), terjemahan sekumpulan ahli tafsir di bawah pengawasan Syaikh Shafiyyurahman al-Mubarakfuri, menjelaskan bahawa ayat tersebut merupakan bukti kebesaran Allah di Bumi.

Pada ayat tersebut diterangkan bahawa Allah telah menjadikan Bumi sebagai hamparan yang luas, lalu mengukuhkannya dengan gunung-ganang yang menjulang tinggi. Kemudian, Allah mengalirkan padanya sungai-sungai dan mata air bagi menyuburkan tanah serta tanaman.

Hasil penelitian beberapa tahun kebelakangan ini, ahli sains telah menemui ruang penyimpanan yang sangat besar di dalam perut gunung. Di ruangan inilah, gunung menyimpan air hujan yang bersih.

Sebahagian dari tadahan air hujan itu kemudian mengalir menuruni gunung ke kawasan lebih rendah, mengisi lekung, menjadi mata air dan membentuk sungai-sungai. Sebagai contoh, kebanyakan sungai di Semenanjung Malaysia berpunca dari Banjaran Titiwangsa. Di Sabah dan Sarawak pula, sungai-sungainya turut berpunca dari banjaran gunung di pedalaman.

Aliran air yang mengalir dari kawasan pergunungan akan menyerap ke dalam tanah sama ada secara alami mahupun diserap oleh akar-akar pokok. Dan air itu ternyata memberi manfaat yang besar kepada sekitarnya.

Demikianlah ciptaan Allah – tiada kecacatan. Sesungguhnya pada kejadian alam itu terdapat tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah bagi mereka yang memikirkannya.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare