TIDAK pernah mennyokong body shaming yang dianggap sangat kejam dan boleh menganggu emosi serta mental, penyanyi terkenal Datuk Aishah akui pernah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral itu.

Jelas Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, dia sudah lali apabila seringkali menjadi mangsa buli sejak kecil disebabkan hanya memiliki badan yang lebih besar daripada rakan sebaya.

“Saya menderita dengan isu body shaming sejak kecil jadi saya dah lali. Sebab itulah bila berat badan saya sudah menurun, saya perlu berhati-hati bila bercakap.

“Saya tak boleh keluarkan kenyataan badan kurus lebih baik daripada berisi sebab saya tak kisah dengan pilihan masing-masing.

“Body shaming perbuatan yang sangat kejam. Bayangkanlah dari kecil saya dah kena body shaming. Malah, orang yang pernah alami situasi sama seperti saya mungkin akan berhadapan dengan masalah mental dan tekanan perasaan.

“Sebab itulah saya jalani pembedahan bariatrik disebabkan faktor kesihatan dan harus juga menurunkan berat badan,” katanya kepada URTV.

Aishah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media majlis berbuka puasa Aishah dan Ezad lazim bersama penghuni Rumah Anak Yatim Dan Miskin, Baitu Saidati Khadijah di Grand Barakah Hotel, Ampang, baru-baru ini.

Aishah bersama Ezad bakal menjayakan program berbuka puasa bersama penghuni rumah berkenaan di Grand Barakah Hotel pada 7 April depan.

Dalam pada itu, Aishah turut melahirkan rasa terkilan kerana perbuatan menegur seseorang yang memiliki badan lebih besar itu bermula oleh ahli keluarga sendiri.

“Orang kita kena berhenti menegur fizikal orang lain. Disebabkan hal ini ada yang tak nak hadiri acara keluarga.

“Sebagai contoh anak lelaki saya ketika masih kecil badannya agak berisi. Ada pula yang mempersoalkan makanan yang diberikan oleh saya. Ada yang kata badan anak saya terlalu besar dari usianya.

“Saya sendiri pernah dimalukan secara bersemuka di hadapan orang ramai. Dia minta orang nasihatkan saya untuk kuruskan badan sebab terlalu gemuk.

“Bayangkanlah perasaan saya ketika itu bila berhadapan dengan orang ramai…saya rasa terlalu teruk.

“Body shaming tidak sihat! Saya tak tahu jika ia sudah menjadi budaya di negara kita. Saya pernah menetap lama di luar negara dan body shaming ini sangat sensitif,” tegasnya.

Baju kebaya saiz ‘S’

PENURUNAN berat badan yang dialami ketika ini banyak memberi manfaat untuk dia menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Malah, Aishah kini lebih bijak menjaga rutin pemakanan yang lebih seimbang mengikut jumlah kalori yang diperlukan badannya.

“Saya agak seronok selepas turun berat badan sebab lebih mudah nak beli baju baru. Orang yang berbadan besar sahaja tahu perasaannya bila nak beli baju tapi tak ada saiz.

“Saya kini bersaiz ‘S’. Baju-baju yang lama dulu, saya sudah sedekahkan kepada kepada mangsa-mangsa banjir selain ada juga bagi pada kawan.

“Rasanya hampir 20 beg jugalah saya sedekahkan kepada orang…tak termasuk baju-baju show saya yang lain lagi tu.

“Alhamdulillah, impian nak pakai baju kebaya dah tercapai. Kalau dulu, beg tangan dan kasut saja yang banyak dibeli. Sekarang dapatlah merasa dan saya boleh beli baju baharu sebagai hadiah untuk diri sendiri,” katanya.

Bantu golongan kurang bernasib baik

DIBERI kesempatan untuk memuliakan golongan kurang bernasib baik pada bulan Ramadan, adalah saham akhirat yang paling dinantikan Aishah.

Justeru, apabila dipelawa untuk mengadakan persembahan di Grand Barakah Hotel dan membantu menyalurkan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Dan Miskin, Baitu Saidati Khadijah, Aishah lantas bersetuju dengan tangan terbuka.

“Kalau dahulu ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita terpaksa memperlahankan program amal. Jadi, bila keadaan sudah kembali normal, saya rasa ia harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Program ini mampu meringankan beban golongan memerlukan, selain mendatangkan kebaikan pada Ramadan. Saya harap dapat terus menjayakan program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah diasaskan oleh Esah [email protected] yang ditubuhkan pada 11 Jun 2011.

Ia didiami oleh anak-anak asnaf, miskin dan yatim piatu yang terdiri daripada muslim dan mualaf.

Jualan tiket dibuka secara individu atau meja. Harga Platinum (RM358), Gold (RM338), Silver (RM298) dan Bronze (RM188). Tiket boleh dibeli menerusi talian +601170270028.

Setiap pembelian tiket, 15 peratus akan disalurkan ke tabung Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah.

@urtv_official “Saya menderita sejak kecil sebab body shaming” – Aishah #urtv #utusantv #aishah #sembangentertainment #bodyshaming #trendingnewsmalaysia #masukberanda #fyp ♬ original sound – urtvofficial