Keputusan untuk memulakan sistem pembayaran terbuka di lima lebuh raya pertama itu dibuat bagi memastikan sistem baharu itu dapat berfungsi dengan baik. - GAMBAR: Abd Razak Aid

HASRAT kerajaan memperkenalkan pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka bagi mengehadkan monopoli Touch ‘n Go menerima respons positif pengguna jalan raya.

Namun, terdapat beberapa persoalan yang ditimbulkan sesetengah pihak terutama melibatkan jumlah lebuh raya yang terlibat dalam sistem pembayaran terbuka.

Seperti yang diperkatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini, sistem pembayaran terbuka itu akan mula dilaksakan di lima lebuh raya mulai September depan.

Lima lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.

Menurut Alexander, keputusan untuk memulakan sistem pembayaran tebruka di lima lebuh raya pertama itu dibuat bagi memastikan sistem baharu itu dapat berfungsi dengan baik.

“Atas dasar itu, usaha ini tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu membuat kajian penuh perancangan, pembangunan dan yang paling penting menguji sistem yang dicadangkan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Baca artikel berkaitan: Tiada lagi monopoli Touch ‘n Go di beberapa lebuh raya September ini

“Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari yang akan menyusahkan pengguna,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander menegaskan, usaha tersebut tidak terhenti sekadar di lima lebuh raya sahaja kerana beberapa lagi syarikat konsesi telah menunjukkan minat dan menyatakan kesediaan turut serta dalam sistem pembayaran terbuka.

Namun, katanya, perkembangan positif itu akan beliau umumkan selepas semua proses selesai.

Alexander memaklumkan, usaha mempercepatkan pembayaran tol secara terbuka bagi pelaksanaan sistem aliran pantas pelbagai lorong (MLFF) yang sekali gus menghentikan segala bentuk monopoli adalah antara fokus utama selepas dilantik mengetuai kementerian itu.

Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan sejak Januari lalu dan beliau juga terlibat dalam pelbagai sesi libat urus dan perbincangan bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.

Sementara itu mengulas persoalan tentang pihak manakah yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu dilaksanakan, Alexander berkata semua punca kuasa pelaksanaan sistem pembayaran tol dan semua yang berkaitan tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Sehubungan itu saya memohon semua pihak menunggu pengumuman KKR berkenaan senarai jajaran dan lebuh raya yang bersedia untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan masalah dalam kalangan pengguna di kemudian hari.

“Ia akan ditentukan selepas semua proses libat urus, teknikal, perundangan dan kewangan telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram