Kolumnis Wanita – MUNGKAL DELI (Artikel disiarkan pada 12/6/2009)

Anak gadis berkurung katup,

Jalan bertiga berbisik kata;

Segak manis bertudung litup,

Sopan bergaya cantik jelita.

60-an dan sebelumnya.

Menjadi kemestian bagi anak gadis yang telah akhil baligh tatkala berjalan keluar rumah mengenakan kain selendang. Itu kalau ada keramaian. Pada hari-hari biasa sehelai batik basahan dikalungkan ke leher lalu dikembangkan menutupi kepala. Anak rambut berjuntai di dahi sementelahan tocang yang tejalin panjang terjulur terjuntai ke aras pinggang.

Selain dari sopan dan kesantunan gaya semasa, sarung batik ini turut memainkan peranan sebagai payung pelindung terik cahaya matahari. Andai di kedinginan pagi, sarung batik akan beralih tugas menyelimuti tubuh menghangat badan. Turut diperlaku, tudung sebagai tabir menepis raut dari pandangan tajam sang adam. Akan terperlihara dan bertambah serilah rang suri.

Bertudung? Rasa tak kot.

70-an.

Skarf mula menampakkan diri di dekad ini. Terlilit di leher atau sebagai cekak mahupun reben pengikat rambut adalah kebiasaan, aksesori pada busana. Menariknya apabila skarf sering dilihat dan diibarat sebagai tudung segitiga yang lazim dipakai oleh rang suri berusia 35 tahun ke atas.

Skarf tadi dilipat dua bersilang bucu lalu diserkupkan ke kepala, diikat pula pada tengkuk dua bucu lagi yang bertentangan. Namanya pun skarf; kain panjang sejengkal, yang tertudung hanyalah bahagian tengah kepala. Rambut dahi dan ubun-ubun masih jelas nampak, sebegitu jugalah rambut bahagian belakang terjurai lepas.

Bertudung? Belum lagi.

80-an.

Tudung dakwah! Masih ingat? Penggunaan perkataan dakwah yang disempitkan. Seolah-olah dakwah itu cuma pada tudung dan tudung sahajalah yang berdakwah. Alahai!

Tapi tak mengapa. Rasanya pada dekad inilah arus atau trend bertudung mula bangkit. Yang jelas tudung kali ini agak litup pemakaiannya. Segala rambut dan anak-anak rambut kemas tersimpul di dalam tudung. Ini turut terbawa kepada baju dan kain yang dikenakan. Yang kelihatan cuma raut wajah dan dua telapak tangan.

Namun jumlah mereka masih boleh dibilang dengan jari. Andai rang suri di Universiti, Kolej mahupun sekolah asrama penuh, sudah tentu pasti 100% terpilih sebagai ketua Hal Ehwal rang suri berpotfolio keagamaan. Tak boleh tidak, jawatan ini terpaksa rang suri sandang. Pendek kata, pada tanggapan umum, kalau bertudung pasti banyak ilmu agamanya.

Dipertengahan dan penghujung dekad ini ternampak pula aliran menyongsang arus. Ramai rang suri yang kembali ke tanah air dari menuntut di negara-negara barat pulang berlitup. Maka tersohor pulalah istilah-istilah seperti jilbab, purdah, hijab, burqa, chador dan seumpamanya. Bilangan ‘ninja’ juga terus meningkat. Tak kurang juga anak-anak yang takut pada “hantu kum-kum”.

Bertudung, kesedaran? Entah.

90-an.

Bilangan sekolah agama rakyat mulai bercambah ke seluruh negeri di Malaysia. Jika dulu pada tahun-tahun 70-an hanya popular di beberapa negeri tertentu sahaja akan tetapi perkembangannya kini semakin menyeluruh di serata Semenanjung.

Di sekolah-sekolah, anak-anak gadis tidak wajib namun digalakkan memakai tudung. Maka bertudunglah mereka. Yang tak moleknya, selesai sahaja sekolah, tudung terlucut entah ke mana!

Kesedaran, kewajipan? Den_nai tengok macam terpaksa aja.

Alaf baru.

Wardina, Waheeda, Bienda, Siti dan terbaru Ekin disinonimkan dengan gaya tertentu bertudung. Itu belum lagi jenis kain yang dipakai; nipis, lembut, satin, kasar, jarang, sutera dan maha pelbagai.

Bersaiz besar, memanjang, sarong pakai, pasang-siap, selapis, dua lapis, hatta multi-layered and muilticoloured pun ada! Itu belum sentuh bab jurai, lace, sulam, manik, labuci dan batu-batu kaca dan cermin yang bergemerlapan.

Berkancing di dagu, berpeniti di pinggir dahi, berkeronsang di bahu, berkelip di pipi, bersemat di kepala, bersangkak di dada serta segala ilham pintalan yang tak terklasifikasikan.

Oh! Leher dilihat jinjang, jambul sejambak, rantai memancar, subang kemilau. Pulak!

Yang menjelek pandangan, rambut tertutup tetapi busana mendakap kemas menzahir setiap inci alun kujur tubuh. Setahu Den_nai selain rambut, aurat turut menuntut agar dilabuhkan tudung ke paras dada serta berpakaian tidak menyerlah susuk badan.

Akan tetapi sekarang yang kelihatan semakin ramai juga rang suri yang berkemeja-T lengan pendek dan berstretchable jeans.

Tudung tetap maintain! Itulah jadinya bila berfesyen mengikut orang dan bukannya menurut ilmu pengetahuan!

Kewajipan? Hmm. Pakai tudung saji ajalah…