Pengalaman zaman kanak-kanak tidak mungkin dilupakan oleh setiap individu. Sebaik sahaja pulang dari sekolah dan di waktu petang pastinya rakan-rakan sedia menunggu di padang mahupun lokasi tertentu. Bermain dengan rakan-rakan dalam apa jua bentuk mainan merupakan aktiviti wajib bagi kanak-kanak di kampung.

Hari ini suasana sebegitu sangat berbeza. Ramai yang telah berhijrah ke bandar. Anak-anak pula turut sama mengalami proses urbanisasi. Kesibukan ibu bapa bekerja, anak-anak turut sama merasa tempiasnya. Mereka seolah-olah terperangkap di dalam rumah sendiri.

Justeru, televisyen, permainan video, komputer dan gajet yang lain menjadi teman setia. Bimbang jika dilepaskan bermain di padang mahupun taman permainan jika tidak dipantau, keselamatan anak-anak tidak terjamin. Kes penculikan, kanak-kanak yang hilang dan pelbagai lagi masalah sosial yang lain membuatkan majoriti ibu bapa berat hati melepaskan anak-anak bermain di luar.

Kanak-Kanak Lebih Kreatif

Menurut Kenneth R. Ginsburg dari Jurnal American Academy Pediatric, aktiviti bermain (luar kawasan rumah) mampu merangsang perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan emosi anak-anak. Malah ia juga aktiviti yang sangat berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Jelas Ginsburg lagi dengan bermain, kanak-kanak boleh menggunakan kreativiti mereka dalam pelbagai bentuk. Ia sekaligus meningkatkan daya imaginasi,ketangkasan dan fizikal, kognitif dan kekuatan emosi.

Dengan unsur tersebut, mereka lebih yakin serta mampu meningkatkan keupayaan diri dalam bersaing dengan rakan-rakan.

Kajian juga menunjukkan bahawa anak-anak yang bermain di luar, kurang mendapat gangguan ketika tidur serta mampu tidur dengan nyenyak. Selain itu, dengan setiap aktiviti yang mereka lakukan, ia juga boleh mengurangkan risiko obesiti.

Pakar perkembangan kanak-kanak menjelaskan bahawa kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di luar mempunyai perilaku yang baik, kurang nakal dan lebih mudah dikawal.

Bermain Waktu Penting Bagi Perkembangan Si Kecil

Bermain adalah lumrah dan sifat semulajadi si kecil. Dia bukan saja dapat meneroka dan memahami dunia sekeliling malah turut memberi kesan yang positif terhadap kesihatan.

Sebaik sahaja dia bebas berlari, bermain alat permainan di padang serta gelak tawa dengan rakan-rakannya, aktiviti itu pastinya akan mengeluarkan peluh. Cuba anda bayangkan sewaktu si kecil melompat, berlari atau menari, pastinya baju yang dipakai akan basah kerana berpeluh. Malah apabila dia berada di bawah sinaran matahari sekalipun peluh akan keluar.

Proses perpeluhan adalah salah satu cara semulajadi badan mengeluarkan suhu. Namun jika dibiarkan ia boleh mendatangkan masalah.

Antaranya:

Peluh dan bau busuk – Apabila anak-anak bermain, ia mengeluarkan peluh. Walaupun satu senario yang biasa berlaku dan bagus untuk kesihatan tetapi peluh yang kering pada kulit dan baju akan meninggalkan bau dan anak-anak pastinya tidak selesa dengan keadaan tersebut.

Peluh dan ragam – Peluh membuatkan kulit si kecil merasa basah dan kurang selesa. Ini juga membuatkan dirinya merasa ‘terganggu’ dan meragam

Peluh dan ruam kulit – Tahukah anda bahawa liang roma anak adalah kecil (lebih kecil daripada liang roma orang dewasa). Justeru, ia lebih mudah tersumbat. Peluh yang keluar secara berlebihan boleh mengakibatkan ruam dan ini menjadikan kulit gatal serta menjejaskan ‘mood’ si kecil.

Peluh dan penyakit – Peluh yang dibiarkan kering pada kulit boleh menjadikan keadaan batuk dan selesema yang sedia ada bertambah teruk.

Nasihat Daripada Ahli Psikologi

Pakar perkembangan kanak-kanak berkongsi pandangan mereka dalam hal ini terutamanya mengenai meningkatkan masa bermain di luar.

Saranan yang diberikan ialah:

  • Mengehadkan masa menonton televisyen atau bermain video dan hanya membenarkan melakukan aktiviti tersebut selepas waktu bermain.
  • Mengajak rakan-rakan sekolah atau di Kawasan perumahan bagi menggalakkan anak-anak keluar bermain.
  • Menyediakan permainan luar yang asas seperti buaian, mainan air serta bola.
  • Luangkan masa menemani anak-anak bermain di luar (dalam masa yang sama memantau aktiviti anak-anak). Ibu bapa yang setia menemani si kecil mereka serta turut sama dalam aktiviti anak-anak merupakan ibu bapa yang produktif.