Kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Selamat di Setiu petang tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata dalam kejadian yang berlaku pada 1.30 tengah hari itu, Faizul Azman Awang, 44, dan isterinya, Habshah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Anak pasangan itu, Muhammad Daniel Dzulkarnain,13, pula cedera parah di bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Affandi Hussin.

Affandi berkata nahas berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang selepas menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di Besut.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan Proton Exora yang dipandu Faizul Azman dipercayai bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Baca : Dua maut, lima cedera dalam kemalangan dua kenderaan

Beliau berkata pemandu lori dan kelindan serta 11 individu daripada tiga kenderaan lain iaitu Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyota Wish tidak mengalami kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya.  

Affandi berkata siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Saturday , 25 March 2023

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram