Gusti Asia Pasifik (APAC) sudah bersedia memberi saingan dan dijangka membuat penampilan pada pertarungan di Jepun dan Amerika Syarikat selepas Perjanjian Momarandum Persefahaman (MoU) antara APAC Wrestling dengan Noah X termetrai.

Malah menerusi perjanjian tersebut, penggusti professional ini bakal menerima gaji bulanan dan pelbagai manfaat lain bagi membawa nama Malaysia ke mata dunia.

Pengarah Pembangunan Peniagaan Alchemist Code Sdn Bhd, Ong Wei Chen berkata menerusi kerjasama itu, Noah X akan menaja penggusti APAC Wrestling termasuk babitkan bayaran gaji, penyediaan pusat latihan dan menanggung perbelanjaan membuat penampilan di dalam dan luar negara.

“Sukan gusti negara berdepan pelbagai cabaran terutamanya dari segi kewangan membuatkan perjalanan ahli gusti Malaysia semakin sukar. Noah X tidak sekadar mengembangkannya menerusi platform digital ke peringkat global, malah kerjasama ini juga membolehkan penggusti di Malaysia menerima gaji bulanan.

“Semua perbelanjaaan ke luar negara akan di tanggung sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU diantara Noah X dan APAC Wrestling baru-baru ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi APAC,  Ayez Shaukat Fonseka yang juga penggusti profesional berkata penajaan yang diterima memberikan motivasi untuk terus bekerja keras dan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Sementara itu jaguh gusti wanita, Nor ‘Phoenix’ Diana yang bernaung di bawah APAC Wrestling turut meluahkan kesyukuran atas kerjasama yang terjalin kerana katanya tidak mudah menjadi ahli gusti profesional kerana kos yang diperuntukkan agak mahal dan perlu ditanggung sendiri.

Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai empat penggusti profesional iaitu Shaukat, Nor ‘Phoenix’ Diana, Double K dan Serigala.