Ramadan bulan mengumpul harta
Sekadar gambar hiasan

Ramadan adalah bulan mengumpul harta namun pada hakikatnya bukanlah harta kekayaan. Sebagaimana yang Rasulullah s.a.w sebut ialah,

Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa”

Rebutlah rahmat Ramadan dengan mengumpul kekayaan jiwa. Dengan jiwa yang kaya dan mantap kita boleh menempuh segala macam dugaan serta ujian yang datang sepanjang tahun berikutnya. Sebabnya kita bergantung harap kepada Tuhan saja, kita mengenal hidup bertuhan. Inilah rahmat tentang bulan Ramadan.

Jika ingin kaya mulakan latihan pada bulan puasa, berlatih bercakap dengan Allah, dekatkan diri dengan Nya dan mantapkan jiwa. Jika jiwa sudah mantap apa saja yang dilakukan akan berjaya dan dipermudahkan.

Selama sebulan menjalani latihan maka ia akan berterusan menjadi amalan yang baik selepas bulan puasa. Sebenarnya puasa sebulan Ramadan adalah kursus asas kemudian ditambah pula dengan puasa enam hari di bulan Syawal. Puasa enam itu adalah kursus lanjutan kemudian ditambah pula dengan empat hari sebagai latihan amali. Maka ia menjadikannya 40 hari berpuasa.

Apabila amalan yang diamalkan selama 40 hari maka ia akan menjadi setitis darah. Ia adalah darah yang dilatih untuk takwa, mengingati, bergantung pada Allah, menguasai nafsu, menjadi hebat, mendekatkan diri kepada Allah serta berfikiran positif. Sel darah pula akan hidup selama 120 hari. Maka selama 120 hari pula kita akan hidup dengan amalan yang baik kesan amalan yang dilakukan sepanjang bulan puasa.

Itulah rahmat Ramadan yang tidak terhingga. Dan, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kehidupan yang akan berlaku sepanjang tahun adalah hasil amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan. Di dalam hidup ini kena sentiasa ada fasa latihan. Begitu juga di dalam berbuat amal sepanjang Ramadan, ia adalah latihan untuk menjalani hidup sepanjang tahun.

Apatah lagi sepanjang bulan Ramadan ini, tiada satu saat pun waktu yang tidak berharga. Setiap saat masa yang berlalu adalah bernilai dengan keberkatan dan kerahmatan. Jadi jangan sia-siakan walau sesaat pun di bulan mulia ini dengan melakukan perbuatan yang sia-sia. Niatkan setiap perbuatan baik yang kita lakukan walaupun amalan asas kerana Allah taala, sudah pasti perbuatan tersebut akan dianggap ibadah dan dinilai dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Gunakan kesempatan ini untuk mendidik dan membiasakan diri dengan melakukan apa pun perbuatan dengan niat kerana Allah seperti makan, minum, mandi, tidur, memasak dan apa jua selagi perbuatan itu bukanlah perbuatan yang buruk dan dilarang. Insya Allah ini pastinya akan menjadi nilai tambah pada diri kita di dunia mahupun akhirat nanti.  

Itulah istimewanya Ramadan yang tidak terdapat di bulan lain kerana bulan ini adalah bulan berpesta ibadah. Ada pelbagai ibadah besar yang ditawarkan kepada umat Islam dengan tawaran ganjaran bonus yang sangat luar biasa. Ganjaran ini bukan hanya dinikmati di akhirat nanti malah ia turut diperoleh di dunia ketika ini.   

Tawaran seperti pahala berlipat kali ganda bagi setiap amalan atau perbuatan yang dilakukan, diampunkan segala dosa yang lalu, diberkati dan dirahmati hidupnya, doa dimakbulkan, dapat melenturkan nafsu yang membara, syaitan diikat, pintu syurga dan pintu kebaikan terbuka dan pelbagai lagi tawaran menarik yang semestinya tidak boleh disia-siakan. Itulah Ramadan bulan mengumpul harta. Wallahu a’lam

______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’