TINDAKAN kem pembangkang yang membangkitkan tiga isu berhubung lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi menunjukkan sikap dendam politik yang tidak berkesudahan.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, hal itu selepas pembangkang seolah-olah menggambarkan lawatan itu sebagai membazir duit negara dan sekadar lawatan makan angin sahaja.
Sedangkan, jelas Mohammad Agus, lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah membuahkan hasil walaupun hanya selama tiga hari sahaja berada di sana.
Katanya, antara kejayaan itu adalah mengadakan pertemuan dengan OIC dan Liga Muslim Dunia di Makkah.
“Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MOU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.
“Beliau juga mendengar taklimat ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaru Arab Saudi, dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di sana.
“Anwar turut membincangkan isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta kerjasama bersama,” katanya dalam kenyataan di media sosial beliau hari ini.
Baca lagi: Arab Saudi negara utama bagi Malaysia di Asia Barat – Anwar
Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata, Anwar telah menjelaskan berhubung isu tidak bertemu dengab pimpinan Arab Saudi semasa berada di sana.
Ujar Mohammad Agus, pimpinan Arab Saudi sebenarnya telah memohon supaya kunjungan Anwar diperpanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.
Katanya, hal itu kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.
“Namun, Perdana Menteri terpaksa menolak dan berjanji akan datang lagi. Menolak kerana pada 25 Mac beliau dan kabinetnya ada majlis berbuka puasa dengan Agong, 27 Mac lawatan sehari ke Kemboja, dan 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan 2 pemimpin besar China Xi Jinping & Li Qiang.
“Pembangkang juga mengkritik Anwar kerana tidak membawa bersama menteri agama? Kunjungan ini adalah berkaitan dengan hal ehwal semasa dan perdagangan, bukannya urusan agama. Jadi apa masalahnya?,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Agus turut membidas dakwaan pembangkang bahawa Raja Salman dan Putera Mahkotanya tidak suka kepada Anwar.
Tegas Mohammad Agus, dakwaan itu tidak benar kerana Raja Salman dan Putera Mahkotanya antara pemimpin luar pertama yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Beliau berkata, pada 25 November, Raja Salman dalam perutusan tahniahnya menzahirkan agar rakyat Malaysia terus maju jaya serta makmur.
Manakala, jelas beliau, Putera Mahkota pula menzahirkan agar rakyat Malaysia terus sejahtera di bawah kepimpinan PM yang baharu.
“Bermain politik pun janganlah sampai ke tahap dendam dan benci. Kita sama-sama perlu menjaga imej dan hubungan baik dua negara.
”Malaysia dan Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar. Pada 2022, Arab Saudi merupakan destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM45.52 bilion (USD10.26 bilion).
“Itu belum mengambil kira lagi keperluan kuota haji yang kita perlu dari Arab Saudi setiap tahun.
“Jika tidak berpuas hati juga dengan hasil lawatan dan kos lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi, tanya sendiri di parlimen. Setiap Selasa Perdana Menteri sedia menjawab,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram