Untuk berbuka hari ini, SAJI hidangkan menu daging masak lada hitam. Ringkas, mudah dan cepat disediakan. Ada sedikit tip yang nak dikongsikan tentang pemilihan daging. Ada dua jenis daging yang berada di pasaran, daging import atau daging kotak dan daging tempatan. Kedua-duanya mempunyai rasa dan tekstur daging yang sedikit berbeza. Ini kerana dipengaruhi makanan yang dimakan oleh lembu tersebut.
Daging import misalnya, teksturnya sedikit liat. Kebiasaannya direbus terlebih dahulu untuk melembutkan daging, sebelum dimasak. Berbeza dengan daging tempatan lebih lembut. Harganya juga jauh berbeza, lembu tempatan lebih mahal berbanding daging import. Kalau menggunakan daging import, disarankan rebus terlebih dahulu. Kemudian barulah dihiris nipis. Barulah sedap..
DAGING MASAK LADA HITAM
BAHAN
1 kg daging – potong nipis
1 batang lobak merah- potong dadu
1 batang celeri- hiris nipis
½ cawan kicap pekat
1 sudu besar lada hitam – tumbuk
1 biji tomato – belah empat
2 tangkai daun bawang
2 labu bawang besar – kisar
2 ulas bawang putih – kisar
1 cm halia – kisar
Minyak masak untuk menumis
Garam
CARA PENYEDIAAN
- Potong daging nipis-nipis, basuh dan tuskan.
- Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga wangi.
- Masukkan daging, lada hitam dan kicap pekat biarkan mendidih.
- Setelah mendidih masukkan lobak merah dan batang celeri, kacau sehingga pekat.
- Masukkan garam dan sebatikan rasa. Kemudian masukkan tomato.
- Taburkan dengan hirisan daun bawang. Dah siap!