PADA petang 6 Mei 1937, orang ramai mula membanjiri kawasan sekitar Stesen Udara Tentera Laut Lakehurst di New Jersey, Amerika Syarikat. Mereka berkumpul kerana mahu menyaksikan kecanggihan sebuah kapal udara zeppelin Jerman yang merupakan pesawat terbesar pernah dibina untuk mendarat di situ.

Masa ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila di ruang udara lokasi tersebut muncul sebuah kapal udara gergasi berbentuk seperti belon. Orang ramai  mendongakkan kepala ke arah langit sambil diiringi tepukan dan sorakan sebagai tanda menyambut pendaratan kapal terbabit.

Sedang ia terbang mendekati kawasan itu untuk mendarat, tiba-tiba satu letupan kuat kedengaran dari bahagian ekor pesawat tersebut. Hampir separuh bahagian belakang kapal berkenaan mulai hangus dijilat api. Ia mula hilang imbangan apabila bahagian kapal udara itu mula mendongak ke arah langit.

Kejadian mengejutkan itu berlaku dengan sangat pantas. Suasana sorakan dan tepukan di stesen itu bertukar cemas. Orang ramai yang berkumpul di situ bertempiaran lari dan menjerit ketakutan menuju ke lokasi yang lebih selamat.


Kapal udara Hindenburg yang meletup semasa mahu melakukan pendaratan.

Kebakaran yang berlaku di bahagian ekor kapal tersebut semakin serius. Api kian marak sehingga menyebabkan sebahagian besar ekor kapal berkenaan musnah dan terlerai jatuh ke tanah.

Bunyi letupan terus kedengaran. Kali ini ia menyaksikan pula bahagian tengah kapal terbabit musnah dijilat api. Hanya dalam masa beberapa minit sahaja, kapal udara buatan Jerman itu musnah terbakar pada pukul 7.25 petang.  

Berdasarkan laporan berita tempatan pada ketika itu, tragedi nahas udara tersebut telah mengorbankan 35 orang daripada 97 orang penumpang dan anak kapal. Kemalangan ngeri tersebut berlaku dengan sangat pantas.

Dalam masa beberapa minit, kapal udara gergasi ini musnah dan mengorbankan 35 nyawa.

Sebelum hari pendaratan kapal itu, media-media tempatan telah berlumba-lumba menyiarkan berita mengenai pengangkutan udara tersebut. Kapal ini merupakan ciptaan dari Jerman, dibina oleh Luftschiffbau Zeppelin pada tahun 1935. Ia dinamakan LZ 129 Hindenburg sempena nama presiden Jerman, Paul von Hindenburg.

Saiz pesawat ini dikatakan berukuran 245 meter iaitu tiga kali lebih panjang jika dibandingkan dengan pesawat komersial Boeing 747. Tidak hairanlah bahawa kapal gergasi ini dikategorikan sebagai pengangkutan udara terbesar dalam sejarah dunia penerbangan.

Meskipun ia berbentuk seperti sebuah belon, ia merupakan sebuah kapal yang canggih. Struktur luar dilitupi fabrik kulit serta dicat dengan menggunakan serbuk aluminium yang menampakkan ia kelihatan eksklusif dan mewah. Oleh sebab ia diperbuat ketika zaman pemerintahan rejim Nazi, bahagian ekor atas dan bawah dilekatkan lambang swastika yang bersaiz besar.

Selain itu, kapal ini dikatakan mempunyai pelbagai kemudahan untuk para penumpang. Ia termasuklah beberapa unit kabin, ruang tempat makan setaraf sebuah restoran, ruangan untuk merokok dan sebagainya.

Hindenburg, kapal udara terbesar pernah dihasilkan buatan Jerman.
Salah satu ruangan dalam kapal ini.

Hidenburg memiliki kelajuan maksimum 135 kilometer per jam dan kelajuan pelayaran 126 kilometer per jam. Mengikut pada rancangan awal, kapal gergasi ini direka khusus dan menjana kuasa dengan menggunakan gas helium.

Namun disebabkan permasalahan politik antara pemerintahan Nazi Jerman dan Amerika Syarikat pada ketika itu menyebabkan rancangan asal tidak dapat direalisasikan. Ia disebabkan kerajaan negara Uncle Sam telah melancarkan sekatan eksport kepada kerajaan Nazi Jerman. Justeru mereka tiada pilihan dan telah menggunakan gas hidrogen yang mudah terbakar untuk menjana kuasa kapal berkenaan.

Kapal udara Hidenburg sepenuhnya disiapkan pada tahun 1936. Ia dirasmikan sebagai sebuah pesawat penerbangan komersial bagi laluan Atlantik Utara. Berdasarkan rekod penerbangan, ia telah membawa seramai 1,002 orang penumpang menerusi 10 kali penerbangan pergi balik di antara Jerman dan Amerika Syarikat. Malah, ia turut mencatatkan rekod penerbangan tujuh kali penerbangan dari Jerman ke Brazil.

Menerusi catatan rekod penerbangan yang cemerlang, pesawat kebanggaan Nazi Jerman ini telah memulakan penerbangan selanjutnya menuju ke New Jersey. Pada 3 Mei 1937, kapal udara ini selamat berlepas dari Frankfrut, Jerman.

Sebelum kemalangan tragis berlaku pada 6 Mei 1937, Hidenburg mendapat tempahan penuh bagi penerbangan pulang ke Jerman. Difahamkan, kebanyakan penumpang yang menempah terdiri daripada para jemputan yang ingin menghadiri majlis penobatan Raja George IV dan Ratu Elizabeth di London.

Nahas udara Hidenburg didakwa berpunca akibat pelepasan elektrostatik (percikan api) dan bertindak balas dengan gas hidrogen. Secara tidak langsung ia telah menyebabkan kebakaran dan letupan sehingga memusnahkan kapal udara gergasi itu.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare