PADA 13 November 1985, dunia digemparkan dengan berita tentang letusan gunung berapi Nevado del Ruiz berhampiran kota Armero, Colombia. Ia disifatkan antara bencana terburuk pada abad ke-20. Satu dunia heboh.
Letusan itu menyebabkan kota Armero yang pada asalnya sebuah daerah subur dan tenang menjadi lumpuh. Rumah-rumah dan bangunan ranap. Hujan bara dan lahar pijar membakar secara total apa sahaja yang berada di laluannya, termasuklah kota Armero yang berada di kaki gunung Nevado del Ruiz.
Suasana bertambah buruk apabila salji yang melitupi puncak gunung cair mendadak sehingga menyebabkan banjir lumpur. Aliran deras banjir bercampur lahar bergerak selaju enam meter sesaat, membawa bersama sisa runtuhan, sampah sarap dan timbunan kayu. Semua itu berlaku dalam sekelip mata.

Armero diisytiharkan sebagai wilayah darurat. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Kebanyakannya masih tertimbun di bawah lumpur. Sebahagian besar mayat ditemui tidak lengkap anggota tubuh. Dianggarkan lebih separuh penduduk Armero terkorban.
Operasi bantuan dan menyelamat skala besar sukar dijalankan kerana lokasi Armero yang terpencil, ditambah lagi keadaan tanah yang masih dipenuhi lumpur. Jentera berat tidak dapat masuk ke wilayah ini. Kerja-kerja mencari mangsa terperangkap hanya mampu dijalankan secara manual menggunakan tangan dan anjing pengesan. Misi pencarian hanya berpandukan suara tangisan dan bunyi ketukan.
Detik cemas remaja 13 tahun
Beberapa mangsa yang masih hidup ditemui di celah-celah sisa runtuhan bangunan. Salah seorangnya ialah Omayra Sanchez, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun. Beliau ditemui terperangkap dengan separuh daripada tubuhnya – pinggang ke bawah – terbenam di dalam lumpur. Omayra terperuk di dalam lopak selut yang dikelilingi rekahan dinding-dinding konkrit.
Pasukan penyelamat yang menemui Omayra cuba untuk menariknya keluar, namun bahagian kakinya tersepit di bawah runtuhan. Lebih menyulitkan keadaan, setiap kali ditarik, air yang terkumpul di sekelilingnya akan meningkat. Beberapa puing runtuhan juga semakin menghimpit Omayra. Sekiranya keadaan itu berterusan, gadis tersebut akan mati kelemasan.


Untuk beberapa jam yang pertama, pasukan penyelamat tidak mempunyai banyak pilihan. Mereka hanya meletakkan tiub tayar sebagai pelampung untuk anak gadis itu bertahan. Ibunya yang terselamat turut menemani beliau di situ sementara menunggu bantuan tiba.
Pasukan penyelam turun ke dasar untuk melihat keadaan kaki Omayra yang tersangkut. Bahagian paras lutut hingga ke buku lali gadis itu tersepit di antara pintu dan dinding batu. Manakala di bawah tapak kakinya pula terdapat mayat seorang wanita yang menjadi alas untuk Omayra merehatkan kaki, iaitu ibu saudaranya sendiri.
Tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan remaja berambut kerinting itu melainkan kakinya perlu dipotong. Namun, perkara tersebut tidak dapat dilakukan kerana kekurangan peralatan dan bekalan ubatan yang minimum.
Ibunya, pasukan penyelamat dan saki-baki warga Armero yang masih hidup setia berada di situ menemani Omayra. Mereka berusaha menguatkan semangat anak gadis itu dengan menghiburkannya, mengajaknya menyanyi dan membantunya mengatasi ketakutan. Setiap kali anak itu menangis, mereka akan menangis bersama.

Selepas hampir 36 jam, wartawan dan jurugambar telah mula membanjiri kawasan bencana. Mereka hadir untuk melaporkan berita tentang kemusnahan kota Armero. Dalam masa yang sama, warga media turut bersama Omayra dan menyiarkan liputan terkini tentang perkembangan gadis itu ke seluruh dunia.
Seorang wartawan dari Jerman, Santa Maria Barragan telah menemu ramah Omayra dalam keadaannya yang masih tersepit. Dia memujuk dengan membawa makanan ringan dan minuman soda untuk anak gadis itu.
Omayra menceritakan detik cemas bagaimana dia cuba untuk menyelamatkan neneknya yang terjatuh ketika tragedi banjir lumpur itu berlaku. Namun semuanya berlalu begitu pantas tanpa dia mampu berbuat apa-apa. Dalam temu bual itu, Omayra turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu dan memohon seluruh warga dunia mendoakannya.
Hampir 60 Jam Terperangkap
Pada hari ketiga, bantuan masih tidak kunjung tiba. Omayra sudah mula berhalusinasi dengan mengatakan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Sesekali dia turut menyebut tentang peperiksaan matematik. Ketika ini anak matanya menjadi hitam pekat, mukanya bengkak dan tangan pucat lesi. Pada suatu ketika Omayra meminta orang-orang di sekeliling meninggalkannya bersendirian supaya dia boleh berehat.
Pasukan perubatan yang ada di situ tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka menyatakan sekiranya kaki Omayra dipotong sekalipun, ia tidak mampu untuk menyelamatkan nyawa gadis itu kerana masalah jangkitan kuman. Justeru, mereka bersetuju bahawa adalah lebih berperikemanusiaan sekiranya membiarkan Omayra mati begitu sahaja.
Seorang jurugambar profesional dari Perancis, Frank Fournier yang berada di lokasi bencana telah memotret gambar Omayra dalam keadaan gadis itu yang semakin lemah. Potret inilah yang telah menggegarkan dunia, sehingga memenangi anugerah Pulitzer dalam kategori fotografi tahunan terbaik pada 1986. Malah, ia menjadi salah satu foto ikonik yang terkenal di dunia sehingga kini.
Akhirnya, selepas hampir 60 jam terperangkap, Omayra tewas pada 16 November, pukul 10.05 pagi. Dia meninggal dunia akibat penyakit gangren dan hypothermia kerana terlalu lama terendam di dalam air. Omayra pergi meninggalkan kontroversi dan seribu satu persoalan terhadap kerajaan Colombia yang lambat bertindak.


Kerajaan Lambat Bertindak
Sebelum tragedi ini berlaku, kali terakhir gunung berapi Nevado del Ruiz meletup adalah pada tahun 1845. Itupun hanya letusan kecil. Dua bulan sebelum tragedi tersebut berlaku iaitu pada September 1985, pasukan penyelidik geologi Colombia sebenarnya telah mengesan aktiviti gempa dan letusan freatik yang menggegarkan kawasan di sekitar gunung berapi berkenaan. Gegaran itu telah menyedarkan pihak berwajib tentang sesuatu yang bakal berlaku. Mereka mula merancang untuk sesi pemindahan secara besar-besaran.
Satu peta amaran telah dikeluarkan pada bulan Oktober –menekankan tentang bahaya abu gunung berapi yang dijangka jatuh memenuhi daerah Murillo, Santa Isabel dan Fursui serta ancaman lahar di wilayah Mariquita, Guayabal, Chinchina dan Armero. Bagaimanapun, peta amaran ini kurang diagihkan kepada penduduk-penduduk yang berisiko tinggi.
Perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan warga tempatan kerana banyak rumah-rumah telah dibina di kawasan laluan lahar. Malah, kebanyakan mangsa langsung tidak pernah menyedari tentang amaran ini.


Dalam masa yang sama, kerajaan Colombia turut dikritik kerana gagal menyampaikan bantuan secepat mungkin. Pihak pemerintah memberikan alasan bahawa serangan gerila ke atas istana presiden adalah faktor utama kelewatan berlaku. Namun, ia hanya alasan semata-mata kerana kerajaan seperti memandang enteng kepada rakyatnya yang lebih memerlukan bantuan.
Selepas misi menyelamat berakhir, Armero telah ditutup untuk selamanya-lamanya. Mangsa-mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke kota-kota lain yang berhampiran. Armero kini hanya tinggal kenangan, hilang bersama tragedi kematian Omayra dan ribuan mangsa yang lain.
NOTA : Selepas lebih 30 tahun tragedi ini berlaku, pekan Armero yang sudah ditinggalkan mula dibuka kepada pelancong. Sebuah muzium kecil juga didirikan untuk memperingati peristiwa pahit tersebut.





______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare