TINDAKAN pelakon Farid Kamil yang membawa sejambak bunga mawar merah dan sebentuk cincin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini hanya sia-sia selepas isterinya Diana Danielle tidak mengambil barangan tersebut.

Malah, percubaan Farid,42, untuk memujuk Diana selepas pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selesai dilakukan juga gagal.

Di luar pintu Dewan Bicara Mahkamah Rendah Syariah, Farid dilihat cuba menjelaskan sesuatu dan ingin cuba memeluk Diana sebelum ditepis isterinya itu.

Kejadian itu turut disaksikan oleh kedua-dua peguam mereka. Diana diwakili oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid pula diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid turut mendakwa konflik berpunca akibat orang ketiga, namun Diana menafikan dirinya ada berlaku curang.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad,10, dan Aurora yang kini berusia lapan tahun.