Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan. GAMBAR: Abd Razak Aid

LANGKAH untuk memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) merupakan tindakan anti rakyat dan anti anak muda.

Itu reaksi Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Jelas beliau, tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – UMNO itu akan menyebabkan anak muda terus bergantung kepada hutang PTPTN.

Katanya, ia secara tidak langsung memusnahkan usaha menggalak penabungan pendidikan demi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak bangsa.

“Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN. 

“Pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang saya usahakan semasa saya menjadi Pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung demi masa depan anak bangsa. 

“Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. 

“Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca lagi: Pencarum SSPN tak boleh lagi tuntut pelepasan cukai

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau bersama-sama dengan beberapa pegawai kanan PTPTN telah berusaha untuk merayu kenaikan pelepasan cukai bagi simpanan SSPN dari RM6,000 ke RM8,000 sebelum ini.

Katanya, langkah itu membuahkan hasil apabila jumlah deposit tahunan SSPN melonjak dari tahun ke tahun. 

Menurut Wan Saiful, pada 2017, jumlah deposit hanya RM 726.84 juta sahaja. 

“Apabila saya mengambil alih jawatan Pengerusi PTPTN pada 2018, saya memulakan penekanan kepada penabungan. 

“Hasil usaha keluarga PTPTN, jumlah deposit SSPN meningkat signifikan menjadi RM1.14 bilion (2018);  RM1.37 bilion (2019);  RM1.99 bilion (2020) dan RM 3.01 bilion (2021),” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dalam laporan Nanyang Siang Pau berkata, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 bermula tahun ini.

Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram