
PELAKON Farid Kamil, 42, mendedahkan punca rumah tangganya dengan isteri, Diana Danielle retak adalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Bercakap kepada pihak media, Farid mula mengetahui tentang kecurangan Diana sejak tahun lalu.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Saya dah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.
“Kalau boleh saya nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Dan bila kita menuntut jawapan, perpisahab pula yang diminta.
“Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah ‘terkantoi’ baru-baru ini,” katanya kepada URTV.
Farid dan Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Ia susulan Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sementara itu, Farid memberitahu sudah 23 hari dia tidak dapat berjumpa dan menghubungi anak-anaknya.
“Saya harus menyelamatkan isteri dari terus diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan anak-anak kerana tanpa isteri saya, saya tak dapat jumpa anak-anak saya.
“Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari dan telefon pun tidak dibenarkan. Jadi, hari ini saya cuba menyelamatkan keluarga saya walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar,” ujarnya.
Ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana, Farid menegaskan dia menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.
“Mahkamah akan buat keputusan. Saya berserah kepada Allah kerana benda ini membabitkan hukum hakam Islam dan saya tak boleh buat keputusan sendiri,” jelasnya.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.