
BUKAN sahaja jambangan bunga mawar, tetapi Farid Kamil turut membawa sebentuk cincin untuk diberikan kepada isterinya, Diana Danielle.
Menurut Farid atau Farid Kamil Zahari,42, berkata, cincin tersebut dibeli sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11 pada tahun ini.
“Saya dah beli cincin sebagai sambutan ke-11 ulang tahun perkahwinan kami. Taklah mahal sangat, cukup sekadar ada,” katanya.
Farid dan Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pagi ini bagi menjalani proses lantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Laporan media menyebut, alasan diberi pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana kerana masih ada rasa sayang terhadap isterinya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad,10 dan Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun.