Berpuasa di bulan Ramadan merupakan satu ibadah yang wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim.

Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 183,

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”

Ada enam syarat yang mewajipkan seseorang itu berpuasa antaranya ialah Islam, baligh, berakal, bermukin, suci daripada haid dan nifas dan mampu berpuasa.

Oleh itu, kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa. Namun begitu, ibu bapa mesti mahu dedahkan anak-anak dengan pengalaman berpuasa supaya anak-anak terbiasa dengan berpuasa di bulan Ramadhan.

Ibu bapa risau dan tak tahu macam mana cara untuk mengajar anak-anak berpuasa?

Ikuti perkongsian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM mengenai tip untuk ibu bapa melatih anak berpuasa.

“Melatih kanak-kanak berpuasa bukan perkara yang mudah. Namun, menjadi tugas ibu bapa untuk mendidik anak-anak tentang puasa sesuai dengan usia mereka.

Berikut dikongsikan tip untuk ibu bapa melatih anak berpuasa.

  • Jangan paksa anak, mulakan secara berperingkat

Latih anak berpuasa secara berperingkat. Mulakan dengan beberapa jam terlebih dahulu kemudian diikuti dengan separuh hari dan seterusnya sepenuh hari. Dengan cara ini, mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.

  • Pastikan anak-anak bersahur

Kejut anak-anak untuk bangun sahur. Sediakan makanan yang tinggi serat supaya mereka rasa kenyang dengan lebih lama dan kekal bertenaga sepanjang hari.

  • Benarkan berbuka awal sekiranya kelihatan lesu

Kemampuan setiap anak adalah berbeza-beza. Memaksa untuk berpuasa boleh mendatangkan stres dan menyebabkan mereka tidak mahu belajar berpuasa. Benarkan berbuka awal sekiranya anak kelihatan tidak bermaya agar tidak memudaratkan kesihatan diri.

  • Hidangkan makanan kegemaran anak ketika berbuka dan bersahur

Sediakan juadah kesukaan anak-anak bagi menarik minat mereka untuk berpuasa. Tanya anak makanan yang ingin dimakan dan pastikan ianya seimbang dan berkhasiat.

  • Berikan pujian kerana usaha anak untuk berpuasa

Setiap kali anak-anak anda berjaya berpuasa sama ada separuh hari atau seharian, ucapkan kata-kata pujian kepada mereka.

Ibu bapa juga boleh memberikan mereka ganjaran dalam bentuk hadiah seperti duit raya atau barangan permainan yang mereka idamkan sebagai galakan untuk terus berpuasa.

#KPWKMPrihatin

#MalaysiaMADANI

Kredit: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM