Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya kepada sebahgaian anak-anak yatim dan asnaf Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur sambil diperhatikan oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr Mohd Salem Kailany (belakang) ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Uda Holdings Berhad bersama media di Boathouse, Ampang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

UDA Holdings Bhd menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM58,000 kepada lima rumah kebajikan sekitar Lembah Klang. 

Sumbangan zakat itu diagihkan kepada Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur; Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur; Rumah Permata Hatiku; Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah. 

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany sambil disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dalam Majlis Berbuka Puasa UDA bersama media, hari ini.

Mohd Salem memaklumkan, sebanyak RM10,000 disalurkan kepada setiap rumah kebajikan untuk persediaan sempena sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (duduk, tengah) bersama Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr Mohd Salem Kailany (belakang, kiri) beramah mesra dengan sebahagian wakil media ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Uda Holdings Berhad bersama media di Boathouse, Ampang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut beliau, UDA turut meraikan seramai 40 anak asnaf daripada Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur dengan setiap seorang menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200. 

“Semoga sumbangan UDA dapat memberikan makna yang besar buat anak asnaf dan anak yatim serta diharapkan mampu mengukir senyuman serta keceriaan menjelang lebaran tahun ini. 

“Selain itu, sokongan dan kepercayaan oleh rakan-rakan media kepada UDA selama ini juga adalah antara faktor yang menyumbang kelangsungan UDA sehingga ke hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Tan Sri Mohd Annuar dilantik sebagai Pengerusi UDA baharu

“Untuk itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama erat yang diberikan dan saya berharap semoga hubungan baik ini akan terus berkekalan,” katanya dalam majlis itu hari ini. 

Sementara itu, Ewon menghargai sangat menghargai komitmen dan inisiatif UDA yang membantu komuniti sempena bulan Ramadan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tengah, duduk) bersama Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr Mohd Salem Kailany (belakang, kiri) bergambar bersama anak-anak yatim dan asnaf Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa Uda Holdings Berhad bersama media di Boathouse, Ampang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Jelas beliau, majlis seumpama itu juga merupakan acara tahunan UDA untuk membantu golongan yang memerlukan. 

Pada masa sama, Ewon berkata, agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut bersama-sama menyumbang kepada golongan tersebut. 

“Sebelum ini, agensi termasuk Bank Rakyat, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Bank juga telah melancarkan program bagi membantu golongan asnaf menjadi usahawan. 

“Mereka ini kita bimbing, bantu dan latih daripada sebelum ini sebagai penerima zakat kepada penyumbang zakat selepas ini. Inilah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan agensi di bawah kementerian,” katanya. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram