Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan yang Datuk Rais Yasin kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Jelas beliau, ia selepas Rais memenangi jawatan tersebut pada pemilihan yang berlangsung pada 18 Mac lalu.

Kenyataan Ahmad Zahid itu sekaligus menafikan laporan berita yang mendakwa kemenangan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu terbatal.

“Saya ingin mengesahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) sudah memaklumkan tidak ada surat pembatalan (kemenangan Rais) itu dan Datuk Rais diabsahkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu,” katanya memetik laporan Berita Harian .

Baca lagi: Melaka mungkin bentuk Kerajaan Perpaduan – Zahid Hamidi

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pasti kesahihan surat yang mendakwa kemenangan Rais terbatal.

“Apa yang penting disahkan (keabsahan Rais sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu),” katanya.

Terdahulu, ada laporan menyebut kemenangan Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023.

Bekas setiausaha UMNO Bahagian itu, Datuk Abdul Latip Mohamad dilapor berkata, beliau menerima pemakluman itu menerusi surat daripada UMNO Pusat di aplikasi WhatsApp pada jam 2.26 petang hari ini.

Surat berkenaan memaklumkan berlaku ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel.

Terdahulu, Rais berjaya menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu setelah menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram