SEJAK dahulu, sudah biasa kedengaran kisah manusia yang diculik oleh makhluk asing. Tetapi sebenarnya bukan hanya manusia, bahkan pesawat juga pernah dilaporkan diculik oleh UFO. Malah, kru dan penumpang di dalamnya turut ghaib bersama pesawat itu.

Ramai pengkaji mempunyai teori bahawa jika sesebuah pesawat itu hilang di udara, mungkin ada makhluk asing yang berminat untuk mengkaji pesawat tersebut lalu diambilnya sewaktu sedang terbang di udara.

Insiden pertama pernah dilaporkan berlaku pada tahun 1953 di Amerika Syarikat. Ketika itu, pihak kawalan radar tentera udara telah mengesan kehadiran sebuah objek terbang di ruang udara Tasik Superior yang merupakan tasik terbesar di benua Amerika Utara.

Sebuah pesawat F-89 Scorpion dihantar untuk memintas objek tersebut. Pihak kawalan radar dapat melihat pada skrin radar yang menunjukkan  ‘blip’ UFO dan ‘blip’ jet terbabit bersatu. Ini bermaksud sama ada kedua-dua pesawat (UFO dan jet) telah berlanggar di udara atau jet pemintas telah hilang masuk ke dalam UFO. Dan pesawat tersebut bersama dengan dua orang juruterbangnya, Felix Moncla dan Robert Wilson, telah ghaib dari muka bumi tidak pernah lagi ditemui.

Dua tahun kemudian pada 9 Mac 1955 di Illinois, Amerika Syarikat, seorang saksi sedang memerhati sebuah pesawat jet tentera terbang menghala ke arah lokasinya. Tiba-tiba dia melihat sebuah UFO datang dari arah belakang jet tersebut lalu menyedutnya masuk ke dalam badannya.

Menurut saksi itu, UFO terbabit mempunyai bahagian seperti ruang kargo yang nampak terbuka. Sebaik sahaja jet tersebut masuk ke dalam ruang itu, UFO tersebut berhenti seketika di udara sementara ruang yang terbuka itu kelihatan tertutup semula.

Selepas itu, dalam tempoh 30 saat, UFO terbabit kelihatan naik turun seketika seakan mengimbangi beratnya sebelum ia terbang memecut naik ke udara dan sekelip mata hilang. Menurut saksi itu lagi, UFO itu berbentuk seperti bahagian atas sebuah loceng. Saiznya amat besar dan mampu menampung beberapa buah jet masuk ke dalamnya. Pada hari yang sama, saksi juga telah melihat UFO yang serupa mengekori tiga buah pesawat jet di ruang udara rumahnya. Tetapi dalam kes ini, jet-jet tersebut tidak ‘ditelan’.

Pengesahan kehilangan jet tersebut beserta juruterbangnya telah dihebahkan di dalam berita tempatan tetapi tidak disebut punca kehilangannya serta kemunculan UFO tersebut juga tidak diceritakan.

Sebulan kemudian, pada tahun yang sama  di New South Wales, Australia, dilaporkan kejadian aneh berkaitan makhluk asing yang menculik pesawat yang terbang di udara. Dalam insiden pada pukul 11.30 pagi, sebuah pesawat ringan telah berlepas dari Cowra dan dilihat oleh ramai saksi menuju ke arah lembah Grose.

Pesawat itu dilihat memasuki sebuah awan yang besar lalu ghaib, tidak lagi dapat dikesan. Dalam masa yang sama, sebuah UFO bersaiz besar dilihat keluar dari awan tersebut lalu memecut laju ke arah utara. Menurut saksi, objek terbang itu berwarna kelabu serta berbentuk seperti piring.

Pihak Tentera Udara DiRaja Australia di Richmond tidak dapat memberi sebarang penjelasan mengenali objek terbang yang tidak dikenali itu serta ke mana pesawat ringan itu menghilang.

Antara berita yang melaporkan tentang penculikan pesawat oleh UFO.

Pada 1 Julai 1969 di ruang udara lautan Alboran di Sepanyol, sebuah pesawat anti-kapal selam daripada jenis Grumman AN-17 yang membawa tujuh orang anak kapal serta juruterbang telah menghantar mesej kecemasan memaklumkan bahawa pesawat mereka sedang menuju ke arah suatu objek yang bersinar terang seperti matahari. Selepas itu, semua komunikasi dengan pesawat tersebut telah terputus. Pesawat serta krewnya telah hilang di ruang udara, langsung tidak dapat dikesan.

Usaha untuk mengesan pesawat itu dijalankan oleh Tentera Udara Sepanyol, tetapi gagal menemui sebarang serpihan pesawat atau kesemua mayat penumpang dan kru. Tiga bulan sebelum kejadian tersebut, sebuah lagi pesawat yang sama berserta dengan lapan orang anggotanya telah hilang atau ghaib dalam situasi yang sama.

Di Malaysia, pada pertengahan tahun 1980-an, sebuah pesawat A4 Skyhawk milik Tentera Udara DiRaja Malaysia yang dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Kuantan untuk ke Labuan telah hilang di udara. Tiada sebarang serpihan yang ditemui. Kehilangan pesawat serta juruterbangnya telah menjadi suatu misteri. Sebelum pesawat Skyhawk hilang di zon Laut China Selatan, ia dilihat telah memecut laju ke hadapan tanpa sebab lalu meninggalkan formasi.

Mengapakah juruterbang pesawat tersebut, Leftenan (Lt.) Wahi, berbuat demikian? Adakah mindanya dipengaruhi atau telah dikawal oleh makhluk asing yang ingin menculiknya berada di udara pada waktu itu? Makhluk asing diketahui berbuat demikian dalam banyak insiden penculikan di mana minda mangsa dikawal supaya pergi ke sesuatu lokasi ataupun keluar dari rumah. Dengan cara begini mereka lebih mudah menculik mangsa tanpa dilihat oleh orang lain.

Walau bagaimanapun, dalam kes kehilangan Lt. Wahi, tiada sebarang pemerhatian atau data untuk menunjukkan bahawa ia ada kaitan dengan fenomena UFO.

Salah satu kejadian pesawat terbang yang hilang di udara yang mendapat liputan berita meluas di seluruh dunia berlaku pada 1978 di Australia. Pada 21 Oktober 1978, juruterbang bernama Fred Valentich berlepas dari Lapangan Terbang Moorabbin di Victoria menuju ke Pulau King.

Sewaktu melintasi Selat Bass, dia ternampak sebuah pesawat yang mempunyai empat buah lampu terang melintas di udara sebelah atasnya. Dia segera menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara di Melbourne. Pusat Kawalan memaklumkan bahawa tiada sebarang trafik udara di situ, melainkan hanya pesawatnya sahaja.

Kemudian Valentich melaporkan bahawa objek terbang yang tidak dikenali itu mengubah haluannya serta menghala ke arahnya dari timur. Katanya, UFO itu seakan bermain dengannya dengan melintasi pesawatnya beberapa kali dengan kelajuan yang dia tidak dapat pastikan.

Walaupun waktu itu malam, Valentich dapat menangkap rupa bentuk objek itu seperti berbentuk panjang. Ada ketikanya UFO itu duduk terapung di udara serta bergerak melingkari atas pesawatnya. Objek terbang itu mempunyai sebuah lampu berwarna hijau serta badannya kelihatan metalik.

Selepas itu, perhubungan dengan Pusat Kawalan di Melbourne terputus. Fred Valentich dan pesawatnya menjadi satu lagi statistik pesawat dan juruterbang yang hilang disebabkan oleh kehadiran objek terbang asing yang juga popular dipanggil UFO.

Dikatakan sejak dahulu, sudah banyak insiden di mana pesawat dan juruterbang telah hilang di udara. Pihak tentera udara tidak akan mengaku kejadian tersebut berlaku kerana mereka tiada jawapannya.

Bagi satu kes yang berlaku di Chile, saksi-saksi melihat sebuah pesawat jet tentera berpusing mengelilingi sebuah UFO yang terapung-apung di udara. Kemudian mereka melihat seperti ada suatu tenaga yang menarik jet tersebut masuk ke dalam badan UFO tersebut sebelum UFO itu terbang dan hilang di angkasa. Juruterbang serta jet terbabit tidak pernah lagi ditemui.

Pesawat yang hilang biasanya dilihat dalam dua cara. Pertama, pesawat ditarik masuk dengan suatu bentuk tenaga ke dalam badan UFO. Dalam bentuk kedua, terdapat satu sinaran yang terang (flash) dan pesawat terus ghaib.

Sebuah pesawat yang hilang di ruang udara Bahamas satu ketika dahulu dilihat ghaib dalam satu sinaran yang terang. Dua buah pesawat F-15 yang cuba memintas sebuah UFO yang muncul di kawasan pesawat itu hilang juga telah melihat UFO tersebut ghaib dalam bentuk satu flash cahaya yang terang.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare