OLEH: SHAHBUDIN EMBUN
UMNO telah pun menyempurnakan persidangan tahunan di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi masing-masing.
Keputusan pertandingan di semua peringkat telah pun kita ketahui dan memang ada banyak perubahan kepimpinan.
Presiden UMNO pula telah melantik jawatan yang wajib diisi di peringkat Majlis Kerja Tertinggi 2023/2026 dan semua pengerusi perhubungan negeri.
Sebagai orang lama yang berjuang dalam parti keramat ini, saya ingin mengingatkan pemimpin UMNO yang diberi tanggungjawab memimpin terutamanya di enam negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) selewat-lewatnya Julai ini, semoga terus bekerja kuat bagi memastikan BN/UMNO berjaya memenangi semua kerusi diperuntukkan.
Jangan sesekali leka dan berangan, seolah-olah kita semua masih di fasa berbulan madu selepas memenangi pertandingan yang sengit sesama sendiri.
Dalam masa empat bulan berbaki ini kita mesti mempersiapkan semua bekalan data pengundi yang lengkap berserta gerak kerja dan berjinak-jinak dengan pengundi atas pagar.
Dan mungkin yang paling penting ialah memikat hati pengundi anak muda yang merupakan faktor penentu kemenangan atau kekalahan nanti.
Perlu diingatkan bahawa UMNO telah tewas kesemua saluran anak muda semasa PRU-15. Semoga kekalahan ini menjadi iktibar untuk kita tidak mengulangi kesilapan sama semasa PRN nanti.
Penulis juga ingin ingatkan bahawa keadaan politik negara hari ini masih membahang panas dengan ada ura-ura gerakan habis-habisan, oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) apabila Presiden BERSATU,Tan Sri Muhyiddin Yassin dikenakan tuduhan oleh SPRM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Baca artikel berkaitan: UMNO guna lambang BN dalam PRN enam negeri – Zahid
Dan sejak kebelakangan ini pun kita telah dikejutkan oleh cubaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan konco-konconya yang berusaha mengadakan perhimpunan Melayu 2023 dengan 12 agenda mengajak semua orang Melayu menyokong beliau.
Beliau berpendapat Melayu di bawah kepemimpinan Kerajaan Madani oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menjaga kepentingan dan menjadi ancaman utama kepada Melayu.
Semalam beliau juga telah mengancam untuk menyaman Perdana Menteri atas alasan menfitnah.
Berbalik kepada isu gerak kerja BN/UMNO ini saya amat berharap supaya pimpinan UMNO bekerja seperti mana gerak kerja Kerajaan PAS di beberapa negeri yang sudah pun bermula untuk mengambil hati pengundi dan rakyat.(Sila lihat video ini)
https://fb.watch/jye2LfNXrH/?mibextid=6aamW6
Cukup-cukuplah kita berpolitik sesama kita dan menumpukan kerja untuk memastikan kejayaan kali ini menjadi milik UMNO.
PAS telah bergerak dan berdamping dengan rakyat melalui pelbagai cara. Saya difahamkan oleh kawan-kawan saya bahawa ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang masih terus senyap dan menunggu menjadi calon barulah hendak mula bergerak dan bertemu rakyat.
Jika inilah caranya saya risau rakyat akan kecewa dan UMNO akan gagal sekali lagi. Mungkin para pimpinan UMNO patut mewujudkan satu gelombang baharu yang boleh dinamakan sebagai Gelombang Madani, mengambil inspirasi perjuangan Kerajaan Perpaduan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
Penulis merupakan penganalisis politik
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram