Tak lama lagi, raya akan tiba! Pasti ramai wanita pening memikirkan warna tudung yang sesuai untuk dikenakan di pagi raya.
Maklumlah, pemilihan tudung yang bersesuaian sangat penting bagi menaikkan seri wajah terutama pada hari raya. Jika kita memilih warna yang salah ia boleh menyebabkan kita kelihatan pucat, kusam serta tidak menyerlah.
Tidak tahu cara memilih warna tudung yang bersesuaian mengikut tona kulit? Ikuti tip di bawah supaya nampak lebih muda dan cantik di pagi raya nanti.
1. Kulit gelap/hitam manis
Wanita berkulit gelap bukan tidak menarik, tetapi anda perlu bijak memilih padanan warna yang sesuai dengan kulit anda. Anda perlu memakai warna-warna yang menaikkan seri wajah seperti merah hati, soft purple atau jingga lembut. Warna-warna ini bersifat kontra dengan tona kulit sekali gus boleh buat kulit anda kelihatan lebih cerah. Elakkan memakai warna coklat tua, hitam dan biru gelap kerana ia akan menyebabkan kulit anda menjadi semakin gelap dan lesu.

2. Kulit sawo matang
Kulit sawo matang atau coklat merupakan warna kulit yang biasa bagi kebanyakan wanita di Malaysia. Untuk wanita yang berkulit sawa matang, memakai warna pastel dan warna gelap merupakan pilihan yang terbaik kerana akan membuatkan kulit anda kelihatan cerah dan ayu. Sebagai contoh, memakai warna pink belacan dan biru gelap dapat menyerlahkan warna kulit anda. Awas! Warna yang harus anda elakkan adalah warna yang terlampau lembut atau cair kerana warna tersebut boleh menyebabkan kulit anda kelihatan bertambah gelap.

3. Kulit kuning langsat
Bagi wanita yang berkulit kuning langsat, anda sesuai mengayakan warna-warna cerah seperti kuning ataupun biru cair. Hal ini kerana warna tersebut menambahkan seri wajah anda dan menyebabkan kulit anda tampak lebih segar sekali gus menyebarkan kecantikan anda. Anda perlu mengelakkan diri memakai tudung berwarna oren ataupun krim kerana warna tersebut akan membuat wajah anda kelihatan pucat.

4. Kulit putih
Untuk wanita yang berkulit putih pula biasanya sesuai dipadankan dengan kebanyakan warna. Tidak kisah warna gelap ataupun cerah. Warna yang paling sesuai untuk orang berkulit putih adalah warna-warna solid seperti merah, hijau dan hitam. Jangan disangka orang yang berkulit putih ini tiada masalah dalam pemilihan warna tudung. Ada juga warna yang harus dielakkan iaitu warna yang terlampau lembut seperti baby blue ataupun soft pink sebab akan menyebabkan kulit anda bertambah pucat.
Pemilihan warna yang tepat dan sesuai sangat penting bukan sahaja untuk kelihatan cantik tapi untuk mengekalkan emosi seharian kita terutama ketika bertandang ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga di pagi raya nanti.
Semoga tip ini dapat menjadi rujukan dan memberi panduan buat para wanita!Â
