Asalnya ia hanya seekor kucing terbiar yang tinggal di sekitar kawasan sebuah stesen kereta api. Siapa sangka, kucing bernama Tama ini akhirnya menjadi penyelamat kepada stesen tersebut.
Tama merupakan seekor kucing jalanan yang tinggal berdekatan stesen kereta api Kishi di Wakayama. Asalnya, ia bersama sekumpulan kucing terbiar yang lain kerap diberi makan oleh penumpang dan pengurus stesen. Sejak itu, Tama menjadi penghuni tetap di sekitar stesen kereta api tersebut.
Stesen Kishi merupakan stesen kereta api di laluan Kishigawa di Kinokawa dalam daerah Wakayama di Jepun. Ia merupakan stesen terakhir dalam landasan tersebut.
Pada tahun 2004, stesen kereta api ini hampir ditutup kerana mengalami kerugian. Seorang demi seorang pekerja berhenti kerana syarikat tidak mampu membayar gaji dan kebanyakan stesen di laluannya telah ditutup untuk mengurangkan kos. Syarikat mengalami kerugian lebih 16 juta setahun kerana penurunan jumlah penumpang yang kebanyakannya lebih gemar memandu atau memilih pengangkutan lain.
Setelah pekerja terakhir berhenti pada tahun 2006, Tama si kucing berwarna putih campuran hitam dan oren ini merupakan ‘petugas’ yang masih setia berada di stesen tersebut. Apabila penumpang keluar dari kereta api, kucing ini akan menanti bagaikan seorang penyambut tetamu.
Keletahnya yang manja dan mengejar penumpang untuk mengiringi mereka akhirnya membuka sinar baru terhadap stesen ini. Lama kelamaan, pengunjung mula datang menaiki kereta api ke stesen ini hanya semata-mata mahu melihat Tama.


Pihak syarikat melihat ia satu peluang yang baik, lalu Tama diambil sebagai pekerja mereka dan dilantik sebagai Train Master. Tama dijaga, diberi makan minum, mempunyai pejabat kecil bahkan memakai seragam khas sebagai penjaga di stesen itu.
Hasilnya, semakin ramai pengunjung datang ke situ. Daripada sebuah stesen yang hampir muflis dan mengalami kerugian, syarikat kembali menjana keuntungan lebih 40 juta daripada peningkatan pengunjung yang datang ke stesen Kishi semata-mata kerana mahu bertemu Tama.
Begitu hebatnya pengaruh seekor kucing. Malah, Tama dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai pegawai operasi stesen Kishi, menjadikan ia kucing pertama di dunia yang menjadi eksekutif dalam perkhidmatan kereta api. Secara tidak langsung, ia melonjakkan populariti stesen tersebut. Daripada sebuah stesen pengangkutan asas, ia berubah menjadi salah satu lokasi pelancongan popular di bandar Kinokawa.
Pengaruh Tama turut diluaskan dengan mewujudkan kedai cenderamata yang menjual pelbagai barangan bertemakan kucing tersebut. Begitu popularnya Tama sehingga keretapi di situ juga diubah dengan berkonsepkan kucing tersebut. Malah, struktur pintu masuk utama stesen itu juga diolah semula menyerupai kepala Tama.


Bukan itu saja, populariti Tama juga meluas sehingga ke luar negara. Kucing ini mempunyai blog sendiri, bahkan turut menjalani penggambaran untuk dokumentari dalam Bahasa Perancis berjudul La Voie du Chat.
Namun, yang hidup pasti mati. Begitu juga dengan Tama. Setelah 16 tahun tinggal di stesen Kishi dan menjadi daya penarik pengunjung, kucing ini akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2012 kerana sakit tua. Hampir 3,000 pengunjung datang menghadiri majlis pengebumian Tama.
Legasi Tama masih diteruskan di stesen Kishi. Namanya tidak pernah dilupakan. Cuma, selepas ketiadaan Tama, tugasnya digantikan dengan seekor kucing lain bernama Nitama yang warnanya seakan mirip dengan Tama.


_______