
OPERASI perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di enam stesen Laluan Ampang-Sri Petaling akan diberhentikan mulai 2 April iaitu Ahad ini.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan, enam stesen tersebut adalah Stesen Bandaraya; Sultan Ismail; PWTC; Titiwangsa; Sentul dan Sentul Timur.
Menurut Rapid Rail, langkah tersebut terpaksa diambil kerana tren yang digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Sentul Timur tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, Rapil Rail terpaksa mengeluarkan tren berkenaan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
“Ia adalah susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan semenjak 27 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 akan disediakan bagi menampung keperluan serta melancarkan perjalanan penumpang yang terjejas.
Syarikat itu memberitahu, perkhidmatan yang akan turut bermula Ahad ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas LRT 11 sedia ada.
Baca artikel berkaitan: Kerja pembinaan berhampiran dipercayai punca keretakan struktur LRT Bandaraya
Jelas Rapid Rail, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 itu akan beroperasi dengan sebanyak 40 buah dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa.
“Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang telah disediakan.
“Penguatkuasaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan laluan bas ini tidak disalah guna oleh kenderaan lain,” jelasnya.
Katanya, penumpang juga disaran menggunakan laluan rel alternatif, iaitu bagi yang menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.
“Bagi penumpang yang mahu ke Chan Sow Lin pula boleh menaiki laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.
“Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Katanya, anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.
“Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan dihadapi penumpang. Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang,” katanya.
Pada masa sama, perkhidmatan bas LRT 9 iaitu antara Stesen Hang Tuah ke Bandaraya dan bas LRT 10 iaitu stesen Masjid Jamek ke Bandaraya turut ditamatkan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram