BIARPUN sudah dua tahun pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin kenangan dan kebaikan yang dilakukan semasa hayatnya masih lagi menjadi perbualan dalam kalangan keluarga, rakan artis dan peminat.
Anak sulung arwah iaitu Uwais,12, sudah tentu antara insan yang paling terkesan dengan pemergian Siti Sarah.
Meskipun tidak menunjukkan rasa kesedihan, namun Uwais menerusi video di akaun Instagram milik Sarah baru-baru ini ada berkongsi perihal ibunya yang menyukai bauan minyak wangi yang digunakan oleh seorang wanita ketika mereka sekeluarga bercuti di Australia.
“Kami sedang bersiar-siar, tiba-tiba Uwais melihat ibu menghidu sesuatu dan mengatakan ‘wanginya’.
“Uwais pun berasa pelik dan bertanya kepada ibu, ‘wangi apa, ibu?’.
“Ibu menghidu bau minyak wangi dan terus bertanyakan kepada wanita tersebut, ‘hello, what perfume are you using?’. Wanita itu menjawab ‘I’m using Ariana Grande perfume’.
“Ibu pun terus membeli minyak wangi itu dan terus menjadi kegemarannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Uwais turut menunjukkan botol wangian tersebut untuk tontonan peminat di media sosial terbabit.
“Inilah dia minyak wanginya, bau yang sama, memang wangi,” ujarnya sambil menghidu minyak wangi seakan rindu dengan kehadiran ibunya di sisi.
Video itu dirakam oleh ibu tiri kepada arwah Siti Sarah, Siti Fatimah Suberi, 36, atau mesra disapa sebagai Makde.
Meninjau ke ruangan komen, rakan artis dan peminat sebak dengan gelagat Uwais yang menceritakan kisah ibunya.
“Dia yang bercerita, kita pulak yang sebak. Rindu seorang anak terhadap ibunya. Hanya kenangan yang dapat diceritakan. Semoga Uwais menjadi anak soleh, jaga adik-adik ya.
“Awak kuat abang Uwais, tak jatuh air mata. Kami yang menonton video ini, sudah bergenang air mata.
“Allah sebaknya Uncle, Uwais jadi anak soleh impian ibu ya, sebak hati Uncle,” coret netizen.
Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat wabak maut COVID-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Untuk rekod, Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata Uwais Al Qarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.