Hampir lapan tahun menjadi ahli gusti professional, Nor Diana Khamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nor ‘Phoenix’ Diana semakin selesa dalam arena sukan gusti.

Tidak gentar akan saiz lawan, jelasnya sukan ini bukan hanya sekadar mempamerkan kekuatan fizikal, namun melibatkan teknik dan ketahanan mental yang kuat. Merupakan pemenang APAC Wrestling Women’s Champion, ulas Diana, dia terpaksa menewaskan pesaing dari Jepun dan Australia yang mempunyai saiz badan yang lebih besar daripadanya.

“Walaupun terpaksa berlawan dengan saingan yang lebih besar untuk memenangi pingat APAC Wrestling Women’s Champion, namun apa yang saya boleh katakan sukan gusti merupakan bahasa universal. Bukan mudah namun syukur saya dapat kalahkan mereka.

“Tiada kategori saiz dalam sukan gusti, kita akan berlawan dengan sesiapa sahaja. Apa yang penting kelincahan dan teknik yang digunakan untuk mematahkan serangan lawan.  Apabila dalam gelanggang, saya akan keluarkan semua teknik yang ada. Dan trademark saya ialah D End – Diana Stepbreaker. Saya akan pusingkan leher lawan, jatuhkan tengkuk dia ke lutut saya,” katanya sambil ketawa.

Mengakui tidak mudah menewaskan lawan, gadis berusia 24 tahun ini menerima setiap kecederaan yang dialami sebagai penguat semangat untuk terus berjaya.

“Saya agak bergelut pada mulanya dengan serangan dan asakan dari pihak lawan, gusti bukan hanya sekadar fizikal dengan belajar cara menerima tumbukan, cara jatuhkan diri. Memang selalunya ada lebam-lebam di badan. Kecederaan paling teruk pernah dialami apabila tisu koyak di bahagian belakang badan dan siku bengkak sehingga tak boleh bengkok.

“Memang kecewa bila cedera sebab tak dapat berlatih dan masuk gelanggang, namun itulah sebahagian daripada sukan ini. Apa yang penting semangat kena kuat,” tuturnya lagi.

Tidak lari dari kecaman, jelasnya imej berhijab bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Walaupun ragu-ragu pada awalnya, namun selepas empat tahun berselindung di sebalik topeng, dia mengambil keputusan untuk mendedahkan identiti diri.

“Waktu permulaan dalam bidang ini memang saya takut sebab tiada lagi ahli gusti wanita bertudung. Jadi sewaktu pertama kali berlawan, saya pakai topeng selama hampir empat tahun.

“Dan apabila sudah bersedia, barulah saya buka topeng dan tunjukkan identiti sebenar iaitu seorang wanita berhijab. Alhamdulillah penonton ramai yang beri reaksi positif. Namun apabila tiba-tiba tular, ramai juga yang mula mengecam terutamanya di Malaysia. Mungkin kerana mereka tidak biasa lihat wanita hijab bergusti.

“Bagi saya, hijab bukan penghalang untuk mencapai impian. Apa yang penting ialah stay true to myself and my faith,” ulasnya kepada Wanita.