SALAH satu kisah legenda popular di negara kita berada di daerah Pekan, Pahang. Kisah mengenai Tasik Chini bukan sesuatu yang baru. Tasik itu amat popular dengan kisah naga yang diceritakan turun temurun sejak zaman dahulu.

Mitos mengenai Tasik Chini telah menjadi bualan sejak sekian lama, terutama di kalangan masyarakat Orang Asli yang menetap di sekitar tasik tersebut.

Tasik Chini terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuantan. Selain popular dengan kisah naga, tasik ini juga menjadi habitat kepada ratusan spesis flora, hidupan darat serta pelbagai spesies ikan air tawar.

Tasik ini juga mengandungi rangkaian 12 buah tasik yang bercantum antara satu sama lain atau lebih dikenali sebagai laut dalam kalangan penduduk setempat dan Orang Asli.

Tasik Chini.

Antara mitos yang popular dengan Tasik Chini ialah kisah Naga Seri Gumum. Selain itu, ia juga dikaitkan dengan kisah dua ekor naga yang telah disumpah dikenali sebagai Naga Sisik Emas dan Naga Sisik Perak. Kisah naga ini popular sekitar tahun 70-an dan 80-an apabila pada zaman tersebut, ramai saksi yang mendakwa pernah melihat jelmaan haiwan seperti naga di tasik tersebut terutamanya sewaktu musim banjir.

Salah satu kisah popular di kalangan penduduk setempat ialah tentang seorang lelaki yang merupakan peneroka di Felda Chini 2 yang dikatakan telah ditimpa penyakit kulit akibat sumpahan tasik tersebut.

Diceritakan bahawa kisah itu berlaku pada tahun 1986, semasa peneroka tersebut keluar memancing menaiki sampan di bahagian Laut Gumum di tasik tersebut.

Ketika itu, dua ekor ular tersangkut pada jaringnya. Walaupun asalnya dia mahu melepaskan semula ular tersebut, namun akhirnya dia bertindak membunuh ular itu apabila ular tersebut mengganas. Bangkai ular itu dicampak semula ke dalam tasik.

Dalam perjalanan pulang ke pengkalan, lelaki itu melihat lengkungan badan naga berwarna hitam muncul di permukaan air. Kemunculan haiwan yang amat besar itu turut menghasilkan ombak yang sangat kuat.

Dikatakan sejak itu, lelaki tersebut ditimpa penyakit aneh. Kulitnya dipenuhi kudis yang berbau hanyir. Walau puas dia berubat ke serata tempat, tidak juga sembuh.

Berbelas tahun menanggung derita, atas nasihat seorang bomoh, lelaki itu kembali semula ke Tasik Chini di tempat asal dia pernah membunuh ular itu. Di situ, dia berdoa sambil mengambil air tasik yang dicampurkan tanah lalu disapu pada seluruh badannya. Selepas itu barulah dia sembuh semula.

Antara mitos lain adalah tentang asal usul kewujudan Tasik Chini. Antara kisahnya, begini…

Sekumpulan puak Orang Asli Jakun datang untuk meneroka kawasan tersebut. Ketika sibuk menggali, muncul seorang nenek tua bertongkat melarang mereka untuk meneroka tempat tersebut kerana tidak mendapatkan keizinannya.

Mereka meminta maaf dan nenek tersebut kemudian membenarkan mereka untuk meneroka kawasan tersebut, namun dengan satu syarat. Nenek misteri itu telah memacakkan tongkatnya di satu tempat dan memberi amaran supaya jangan ada sesiapa yang mencabut tongkat tersebut.

Tidak lama kemudian, kedengaran seekor anjing menyalak dan kumpulan Orang Asli itu berasa hairan apabila melihat anjing tersebut menyalak kepada sebuah tunggul kayu hitam yang buruk. Dengan rasa ingin tahu, salah seorang daripada mereka mencucuk tunggul kayu itu dengan mengunakan batang pengorek tanah.

Lalu memancut cecair merah seperti darah dari tunggul tersebut. Rupa-rupanya ia adalah jelmaan seekor naga bernama Seri Gumum. Dengan tidak semena-mena langit berubah menjadi gelap dan kilat sabung menyabung. Bertempiaranlah mereka semula lari menyelamatkan diri.

Entah bagaimana, tongkat yang dipacakkan nenek itu telah tercabut dan menyemburlah air keluar tanpa henti yang akhirnya memenuhi kawasan tersebut membentuk Tasik Chini.

Tasik Chini sejak dahulu menjadi tumpuan pelancong kerana keindahannya.

Sebenarnya, ada banyak lagi kisah-kisah aneh yang sering diceritakan oleh orang-orang terdahulu, terutama oleh mereka yang pernah mengalami pengalaman misteri di tasik ini. Malah, penduduk setempat terutamanya orang-orang lama masih percaya Tasik Chini berkait rapat dengan naga.

Tasik Chini merupakan tasik air tawar kedua terbesar yang bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, tetapi juga pengkaji dari dalam dan luar negara kerana keindahan, mitos dan sejarah yang ada kaitan dengan tasik ini.

Dikaitkan dengan naga, mitos, makhluk misteri serta emas dan kota yang terbenam di dasar tasik ini yang dikaitkan dengan kerajaan kuno Khmer yang berpusat di Kemboja, kisah-kisah inilah yang menjadikan Tasik Chini begitu istimewa.

Tetapi sayang, keindahan dan keistimewaan Tasik Chini pada hari ini kian hilang akibat tangan manusia yang rakus. Airnya semakin cetak, keindahannya semakin hilang apabila persekitarannya telah digondolkan akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan. Aduh, kasihan Tasik Chini!

Keadaan Tasik Chini dahulu dan sekarang.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare