Pengasas Asri Ahmad Academy, Datuk Haji Mohd Asri Ahmad menegaskan bahawa bakal pelabur perlulah memahami risiko pelaburan dan menggunakan lebihan duit yang ada sebagai modal permulaan. Tiada syarat menyatakan pelabur harus menggunakan jumlah tertentu sebagai wang hangus, sebaliknya ia bergantung kepada wang lebihan yang mampu ditanggung risikonya.

“Sebenarnya apabila disebut soal dunia pelaburan, asasnya untuk melabur kita mesti guna duit lebihan. Lebihan itu terpulang kepada keselesaan kita. Ia tiada syarat nak melabur mesti ada RM1000, RM5000 atau RM10,000.

“Ia bergantung kepada wang lebihan yang kita mampu dimana kita tahu apa risiko yang di ambil. Saya nasihatkan kepada mereka yang baru terlibat dalam dunia pelaburan, mula dengan modal yang kecil, bukan modal yang banyak kerana kita tidak tahu lagi selok belok dunia pelaburan tersebut. Jangan teruja dengan pulangan yang lumayan dan tidak masuk akal.”

Menasihati bakal pelabur untuk memahami produk pelaburan yang dipilih, jelasnya cari ilmu dan rujuk pihak berkuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu produk tersebut.

“Apa yang perlu dibuat, pertama fahami produk pelaburan yang dilaburkan. Kedua, selepas rasa yakin, ianya sah dan patuh syariah, mula dengan modal yang kecil. Modal banyak atau kecil tidak penting, yang penting ialah ilmu yang kita ada. Bila ada ilmu, kita tahu bagaimana untuk uruskan duit.

“Saya menolak pandangan bahawa melabur perlu modal yang penting. Modal besar tidak bermakna apa-apa jika kita tidak tahu apa yang dibuat. Mulakan dengan pelaburan ilmu dan jumlah pelaburan kecil yang sanggup kita tanggung risikonya. Jika kita mampu cari pulangan yang baik, ia mampu digandakan. Berbeza dengan modal yang besar, jika tersalah langkah, habis,” katanya lagi.

Asri turut menyatakan dunia pelaburan sentiasa terdedah dengan risiko, maka jangan terperdaya dengan kemewahan yang ditonjolkan di media sosial.

“Anak muda masa kini suka menunjukkan dan memperlihatkan kemewahan dan ianya tidak salah. Untuk kaya ini bukanlah proses yang mudah, baik dalam dunia perniagaan dan pelaburan, ia memerlukan proses pembelajaran dan pengalaman untuk berjaya.

“Nasihat saya kepada anak muda, jangan terikut-ikut dengan gaya kehidupan hari ini. Tidak salah untuk berimpian besar, tetapi dalam dunia pelaburan kita akan sentiasa terdedah dengan risiko kerugian. Jangan sewenang-wenangnya mengikut orang lain, bertindaklah dengan bijak. Carilah ilmu,” ulasnya ringkas.

Ulasnya lagi, masyarakat gemar terikut-ikut dengan sesuatu yang trending termasuk produk pelaburan, namun populariti itu tidak kekal dan bersifat sementara sehingga menyebabkan ramai yang mengalami kerugian.

“Masyarakat kita sukakan sesuatu yang hype. Apabila satu produk pelaburan itu meletup, kita akan berminat. Secara logiknya produk pelaburan ini sangat inovatif dari masa ke masa, namun jika disebut mengenai pelaburan saham, unit Amanah, hartanah, ianya telah wujud sejak sekian lama, namun tidak dirujuk sebagai perkara trending.

“Sebenarnya kita perlu hindari dan jauhi produk pelaburan trending kerana ia tidak bersifat kekal dan sementara sehingga ramai pelabur mengalami kerugian yang besar. Tidak salah mengikuti peredaran zaman namun kita perlu ada disiplin dan jangan ada perasaan fear of missing out atau FOMO. Tidak perlu terkejar-kejar jika kita tidak faham produk yang ada,” katanya kepada Wanita.

Mengakui pernah mengalami kerugian yang besar selama hampir 27 tahun berkecimpung dalam dunia pelaburan, namun itulah realiti yang harus dihadapi setiap pelabur.

“Saya sudah terlibat dalam dunia pelaburan saham hampir 27 tahun dan ia bukan satu proses yang pendek. Saya telah mengalami pengalaman jatuh bangun melihat pasaran saham naik dan turun namun itulah realiti dunia pelaburan.

“Saya sendiri telah mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh ego dimana saya ingat sudah punya ilmu, namun saya bertindak tanpa bimbingan. Akhirnya saya syok sendiri.

“Pasaran tidak boleh dikawal, namun kita mampu untuk kawal risiko. Jadi apa kesilapan yang dilakukan sebelum ini ialah ramai orang fokus kepada keuntungan. Orang akan bertanya, jika tak fokus untung bagaimana orang akan berminat, namun itulah realiti. Jadi fokus kepada pengurusan risiko dan jaga duit yang ada, Insya-Allah ia mampu berkembang. Jika kita fokus untuk gandakan duit, percayalah kita akan lupa faktor risiko sehingga alami kerugian,” katanya mengakhiri perbualan.