Ramai wanita mengeluh kerana memiliki rambut yang sedikit dan nipis sehingga menampakkan kulit kepala. Biasanya rambut lebat dan tebal membayangkan keremajaan dan sihat sementara rambut nipis dikaitkan dengan faktor penuaan.
Ada juga wanita yang mendapati rambut mereka gugur dengan banyak pada suatu peringkat umur sehingga menimbulkan kebimbangan akan menjadi botak. Apa pun, rambut nipis dan sedikit bersifat genetik. Tiada ubat untuk keadaan ini.
Selain itu, masalah kesihatan seperti anemia, bulimia, asma, insomnia dan lain trauma sistemik termasuk sesetengah ubat boleh menyebabkan rambut gugur. Stres berpanjangan juga adalah penyebab kehilangan rambut, satu petanda masalah kesihatan.
Fakta Kitaran Rambut
Sebenarnya jumlah rambut yang anda miliki telah ditentukan sejak usia anda tiga bulan dalam kandungan ibu. Rambut tumbuh daripada folikel dalam kulit.
Jumlah dan jenis folikel sama ada ia akan menghasilkan rambut atau bulu roma panjang atau pendek pada bahagian lain anggota badan anda, mula berkembang pada bulan ketiga janin dalam kandungan ibu.
Rambut yang dihasilkan oleh folikel atas kulit kepala mempunyai jangka hayat tiga tahun dan rambut tumbuh anggaran satu sentimeter sebulan. Selepas peringkat ini, rambut akan berhenti tumbuh dan akhirnya gugur daripada kulit kepala. Namun ia akan segera diganti dengan rambut baru daripada folikel sama.
Ini merupakan kitaran jangka hayat rambut dan tempoh penggantian rambut baru amat tepat. Maka anda tidak seharusnya berasa rambut semakin menipis sekiranya proses kitaran rambut berjalan lancar dan anda berada dalam keadaan sihat, fizikal dan emosional.
Begitu pun, banyak kejadian dalam kehidupan anda boleh menjejaskan kitaran sensitif rambut gugur dan penggantian baru. Hormon tidak seimbang semasa hamil, menopaus dan lain-lain keadaan berkaitan ginekologi boleh mengganggu jangka hayat rambut sehingga menyebabkan rambut menipis. Begitu juga masalah-masalah kesihatan disebut di atas.
Kesimpulannya, anda perlu menjaga kesihatan anda yang secara tidak langsung juga menggambarkan kesihatan rambut anda. Masalah keguguran rambut yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan kekal maka pemeriksaan awal boleh membantu mengatasi masalah tersebut.
Soalan:
Saya berusia 29 tahun dan selepas bersalin anak pertama empat bulan lalu, saya perhatikan rambut saya gugur dengan banyak.
Saya mempunyai rambut yang sihat, tebal dan berkilat semasa hamil. Saya sedang menyusu anak saya dan merancang untuk meneruskan penyusuan ini enam bulan lagi. Adakah ini akan menyebabkan saya akan kehilangan lebih banyak rambut atau menjadi botak?
Trikologis:
Semasa hamil, tahap estrogen atau hormon wanita berada pada paras tinggi daripada biasa bagi membantu kehamilan anda. Estrogen pula membantu menambah jangka hayat rambut anda. Sebab itulah anda mempunyai lebih banyak rambut kerana ia tidak gugur mengikut kitaran biasa rambut.
Tetapi sebaik anda bersalin dan paras estrogen dalam badan anda kembali normal, rambut yang telah ‘lebih jangka hayat’ mula gugur. Maka adalah penting anda menjaga kesihatan agar rambut anda akan kembali pada keadaan biasa selepas beberapa bulan lagi.
Menyusu bayi tidak akan menyebabkan rambut gugur. Bertenang, jaga kesihatan anda agar dapat meneruskan penyusuan bayi.
Namun sekiranya, selepas usia bayi setahun dan rambut anda masih gugur dengan banyak maka, anda perlu mendapatkan bantuan pakar.