BIARPUN sudah bercerai lima tahun lalu, namun penyanyi Ziana Zian sentiasa mengingatkan empat orang anaknya untuk tidak terus membenci bapa mereka, Armin Zaharin.
Ujar Ziana atau Siti Roziana Zain,55, dia juga sering berpesan kepada anak-anaknya untuk sentiasa menghubungi dan bertanya khabar bapa mereka.
“Saya memang dah tak berhubung apa-apa dengan bekas suami. Anak-anak sahajalah yang berkomunikasi dengan bapa mereka.
“Anak-anak memang selalu telefon dan jumpa bapa mereka. Saya pun ada selalu ingatkan mereka untuk jangan menghubungi dan bertanya khabar.
“Sebab perkara yang lalu itu adalah antara saya dengan Armin. Tiada kaitan dengan anak-anak. Jadi saya tak mahu anak-anak derhaka dengan bapa sendiri.
“Saya pun tidaklah sampai nak memutuskan hubungan darah daging bapa dan anak. Berdosa putuskan hubungan. Kalau saya pun akan rasa marah kalau tiba-tiba dihalang untuk berjumpa dengan bapa sendiri,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, Ziana sentiasa mengingatkan pada diri sendiri untuk tidak bercakap hal-hal negatif mengenai bekas suami di hadapan anak-anak.
Menganggap ibu bapa adalah cerminan anak-anak, penyanyi Madah Berhelah itu tidak mahu ada berlakunya sikap membelakangkan orang tua apabila mereka dewasa kelak.
“Kita ini contoh pada anak-anak. Kita janganlah bercakap hal negatif pasal bapa mereka. Saya pun nanti akan dapat dosa.
“Saya nak anak-anak saya bila dah besar nanti jadi suami dan isteri yang baik-baik kejadiannya. Kalau boleh hubungan yang dibina itu berkekalan sampai akhir hayat.
“Saya pula orangnya sangat profesional. Jika bekas suami nak tanya pasal anak-anak, saya okay saja tak ada masalah. Kalau dia nak tahu tentang urusan persekolahan anak-anak, saya okay saja.
“Sebab sekarang ini masing-masing dah ada kehidupan sendiri. Ini hidup saya, itu hidup dia,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.
Selepas apa yang terjadi beberapa tahun lalu, Ziana akui sudah lama memaafkan Armin.
Jelasnya, hatinya lapang dan tenang selepas memaafkan kerana tidak mahu terus dihantui perasaan dendam sehingga dibawa ke hujung nyawa.
“Dari dulu pun sudah maafkan kerana kalau tidak beban itu kita bawa sampai akhirat. Saya tak mahu. Saya nak hati saya lapang, fikiran saya lapang, cukup.
“Bagi saya, kenangan masih tinggal kenangan. Kita tak boleh padam. Hidup saja dengannya tapi dalam cara yang positif.
“Hidup ini, kita tak boleh terperangkap dalam masa silam. Memang kenangan akan datang sekali-sekala, itu biasa. Tapi kena buat keputusan untuk terus maju ke depan,” jelasnya.
Terdahulu, pada Mei 2018, bekas suami Ziana, Armin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.
Perkahwinan mereka selama 20 tahun secara rasminya berakhir apabila Armin melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman,23, Muhammad Ammar,19 dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang berusia 15 tahun.