“Macam-macam gelaran saya dapat apabila saya tegah emak nak kahwin, ada kata saya nak kulikan emak. Tak kurang juga kata saya anak derhaka menentang hasrat emak nak kahwin lagi nak cari pahala dan mencari kebahagiaan setelah membesarkan anak-anaknya.
“Tapi saya tak kisah, saya tetap dengan pandangan saya, emak tak perlu kahwin. Carilah pahala dengan buat amal ibadat sendiri, tak dapat pergi Mekah mengerjakan haji dan umrah bukan bermakna ibadah kita tak diterima Allah. Kalau ada duit, bolehlah dan itu bukan wajib, hanya bagi mereka yang mampu sahaja.
“Namun emak tetap diapi-apikan, disogok konon selama ini emak susah. Manalah tahu kalau kahwin dengan Haji Su dia boleh bawak emak pergi haji atau buat umrah sebab dengan arwah isteri Haji Su, mereka selang dua atau tiga tahun mereka ke Mekah buat Umrah.’’ Itu cerita Kamila melahirkan isi hatinya.
“Saya nasihatkan emak tak perlulah kahwin untuk pergi ke Mekah, buat haji dan umrah. Kalau emak bersabar, insyaAllah saya boleh usahakan dengan adik beradik lain hantar emak ke Mekah buat umrah. Tapi kalau nak pergi segera tak dapatlah sebab duit yang dikumpul belum mencukupi. Saya minta emak bersabar. Memang saya dah berazam nak hantar emak ke Mekah, paling tidak buat umrah.
“Tetapi desakan dari kawan-kawan sesama jemaah supaya emak segera kawin. Agaknya emak tak berdaya melawannya, akhirnya emak termakan godaan dan gula-gula kawan-kawan. Emak pun setuju nak kahwin dengan Haji Su. Kami tiga beradik bantah tetapi abang pula sokong, apa salahnya kalau emak kahwin. Biarlah emak cari kebahagiannya sendiri.
“Terus terang saya beritahu emak, saya tegah emak kahwin sebab saya tak mahu orang kulikan emak. Duduk dengan saya dan adik di rumah tinggalan ayah, emak jarang-jarang masuk dapur memasak, apa lagi buat kerja bersihkan rumah. Semua kami uruskan supaya emak ada masa lapang untuk jumpa kawan, ikut pergi rombongan berjalan, pergi solat berjemaah di masjid dan kadang-kadang ikut pergi kenduri kendara ke rumah saudara yang jauh. Pendek kata emak bebas bergerak. Tiada ikatan boleh bergerak bebas.
“Awalnya memang emak setuju dengan pendapat saya dan adik, tetapi bila jumpa kawan, fikiran emak berubah lagi. Mudah sangat terpengaruh. Betul saya sudah bekerja tetapi pendapatan saya bukan banyak sangat. Belum banyak pun simpanan sebab di rumah, saya yang urus makan minum kami bertiga, abang dan kakak cuma bagi emak duit sekali sekala. Alasan mereka ada tanggungjawab dan kakak pula tak bekerja.
“Duduk dengan kami fikiran emak tenang, kalau tak suka emak boleh marah kami, tetapi kalau dengan anak-anak tiri, tentu emak tak berani bersuara. Lagi pun kami dengar bukan semua empat orang anak Haji Su suka ayah mereka kahwin, terutama salah seorang anak perempuannya yang masih belum kahwin, dia memang larang ayahnya kahwin. Katanya dia boleh uruskan makan minum ayahnya walaupun dia bekerja. Tapi ayahnya nak kahwin juga.
“Alasan paling kuat Haji Su nak kahwin sebab dia bimbang penyakit tiga serangkainya melarat, siapa nak jaga dia nanti. Sementara bertenaga dia mahu kahwin, mungkin ada orang yang mahu menjaganya. Tetapi kalau dah tua sangat dan penyakit semakin teruk, siapa yang mahu, apa lagi nak kahwin dengannya. Dia bimbang penyakitnya bertambah teruk. Dan dia segan kalau anak perempuan yang jaga dia. Lainlah kalau dia ada isteri, dia tak segan.
“Dan paling utama, makanan masakan anaknya dan makanan yang dibeli langsung tak menyelerakan. Lainlah kalau ada isteri tentu layanannya lain dan masakannya juga lain tentu lebih sedap.
“Sebelum kahwin sekali sekala anak-anak datang bergilir jaga ayahnya bila adiknya kerja luar daerah. Waktu itu mereka mahu ayahnya kahwin supaya ada orang boleh jaga ayahnya sebab mereka sudah berkeluarga, ada anak-anak dan suami yang perlu di uruskan. Anak bongsunya lelaki memang tak mahu uruskan ayahnya sebab sibuk dengan aktiviti luar, suka bermotoran.
“Sebab itu bila ayahnya nak kahwin mereka sokong kerana mereka tak mahu pikul beban disebabkan mereka sibuk dengan urusan sendiri dan sudah berkeluarga.
“Saya tak setuju emak kahwin sebab Haji Su sudah berumur dekat 70 tahun. Sedangkan emak dah lebih 55 tahun. Selama ini pun emak sering mengadu dia penat dan tak mahu masak. Saya tak kisah tetapi bila dah kahwin boleh ke emak kata dia tak mahu masak sebab penat. Tentu suaminya tak suka, apa guna dia kahwin, dia tentu mahu layanan isteri, begitu juga anak-anaknya. Tentu tak suka emak tirinya asyik duduk berehat, tak urus rumah dan tidak memasak masak kegemaran ayahnya.
“Kerana desakan kawan dan kelemahan emak sendiri, akhirnya emak nikah juga. Dan emak pindah duduk rumah Haji Su. Lepas setahun penyakit Haji Su semakin teruk, kalau sebelum ini sering juga emak ke masjid, tapi bila Haji Su sakit, mereka tak keluar rumah lagi.
“Yang tak sedap dengar apabila ada anak Haji Su sendiri mengata emak tak jaga makan minum ayah mereka, sebab sering ajak ayah makan kat luar. Memang sakit hati dan telinga saya bila dengar. Tapi itu kehendak emak. Bab masak memang sulit sebab kalau di rumah, saya yang selalu masak untuk emak, sebab emak suka ke masjid dan berjumpa kawan-kawan.
“Sejak Haji Su sakit seringlah anak-anaknya datang ziarah, bila datang mereka minta emak masak dengan bahan masakan yang mereka bawa, sekali sekala bolehlah, tapi kalau setiap minggu,saya rasa tentu emak pening. Sebab emak memang malas ke dapur masak dalam jumlah yang banyak, belum masuk berkemas rumah, bersihkan dapur, cuci pakaian dan menguruskan Haji Su yang semakin lemah berjalan.
“Kalau mereka datang bawa makanan sudah di masak tentu tak ada masalah, tetapi mahu emak yang masak, sedangkan mereka duduk di ruang tamu melayan ayah mereka, tentu emak tak selesa.
“Walaupun emak tak bercerita pada saya tetapi saya sudah dapat meneka. Emak tentu kesal, manakan tidak, konon emak dijanjikan nak bawa pergi Mekah buat umrah dan haji, sekarang tinggal janji sahaja, sebab Haji Su tak sihat dan anak-anaknya larang ayahnya pergi berjalan, walaupun sesekali turun KL atau ke Langkawi, tempat lawatan kesukaan emak.
“Saya pernah telefon dan cadangkan pada emak supaya suruh Haji Su ambil pembantu yang boleh bantu emak berkemas rumah, selain bantu emak masak supaya emak tak teruk sangat bersihkan rumah dan memasak, tapi Haji Su diam tidak beri sebarang jawapan.
“Akhirnya baru emak dapat tahu anak-anak tirinya mendakwa kerja dalam rumah dan memasak untuk makan mereka berdua bukan teruk sangat, tak perlu guna pembantu rumah pun. Kalau mereka hendak guna pembantu rumah dari dulu lagi mereka dah ambil tetapi ayah mereka tak mahu, sebaliknya ayahnya nak kahwin.
“Sekarang baru emak sedar mengapa saya dari awal tak galakkan emak kahwin. Umur emak dah lebih 50 tahun bukan masa nak kahwin lagi, tetapi gunakanlah masa itu untuk kebaikan diri sendiri, selain beramal dan berhibur bersama anak cucu, berjalan dan melancong jika ada anak-anak yang pelawa.
“Sebenarnya nak cari pembantu rumah bukan mudah, kalau tidak disiapkan upah yang lumayan mereka tak mahu bekerja. Dan kerja pun bukan siang malam, sehari suntuk. Mereka cuma mahu bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja, selebihnya dari petang membawa ke pagi adalah tugas anak-anak jaga ayah mereka sendiri.
“Lainlah kalau ayahnya berkahwin, mereka boleh lepas tangan, tak perlu datang tengok apalagi bergilir-gilir menjaga ayahnya pada malam hari kerana segala keperluan, penjagaan, kebersihan dan makan minum ayah disiapkan oleh isterinya. Tak banyak keluar belanja seperti bayar gaji kepada pembantu rumah atau penjaga khas.
“Khidmat pembantu rumah lain daripada khidmat penjaga khas untuk orang orang tua, bukan setakat gaji mereka berbeza, waktu bekerja pun lain dan khidmat mereka pun lain. Khidmat penjaga khas untuk orang tua, ada yang lebih RM3000 sehingga RM5000 sebulan. Pasti ramai yang tak mampu, jalan paling mudah kahwinkan ayah, bukan sahaja pembantu rumah, tetapi juga penjaga khas. Lebih istimewa, semuanya percuma!
“Lagi pun saya tak mahulah emak saya digunakan semata-mata untuk menjaga ayah mereka yang sudah tua dan sakit. Ditakdirkan orang tua itu mati maka terputuslah hubungan antara anak-anak arwah dengan ibu tirinya. Saya tak cakap kosong, inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Bila ayah mereka mati, ibu tiri baliklah ke rumah atau kepada keluarga masing-masing. Di buang macam ‘sampah’.
“Saya tak mengharapkan harta peninggalan orang tua itu untuk emak saya sebab kita sendiri faham. Sebaik sahaja ibu mereka meninggal dunia, semua harta pusaka di bahagikan sesama ahli keluarga, terutama anak-anak. Apa yang tinggal cuma sedikit duit untuk buat belanja si ayah makan, beli ubat dan untuk rawatan hospital.
“Saya faham sangat perangai anak-anak jika ayah mereka kahwin lagi sebab itu ramai yang tak mahu ayah mereka kahwin. Saya tak mahu mereka tuduh emak saya kejar harta atau duit ringgit ayah mereka tetapi memadai jika ada perasaan rasa hormat dan mahu berterima kasih kepada bekas ibu tiri yang bersusah payah menjaga ayah mereka. Tetapi tidak kepada keluarga ini.
“Seperti yang diduga setelah ayah mereka meninggal, emak kembali kepada kami. Dibuang seperti menamatkan khidmat pembantu rumah.’’ Itu cerita Kamila mengapa dia melarang emaknya kahwin lagi sebab buang masa dan memenatkan badan sahaja. Lebih baik beramal untuk kebaikan diri sendiri.