
INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia mengambil inisiatif untuk melancarkan Kit Book MYSavefood Ramadan.
MARDI dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia merupakan buku panduan yang tepat dan lengkap bagi melaksanakan program Mysavefood di bazar Ramadan dengan lebih sistematik mengikut prosuder operasi standart (SOP) yang telah ditetapkan.
Jelas kenyataan itu, buku tersebut dibahagikan dengan beberapa bahagian yang memaparkan SOP bagi menjalankan kerja-kerja mengendalikan makanan tidak terjual di bazar Ramadan.
“Antaranya seperti aliran kerja sukarelawan di tapak projek, skop tugasan sukarelawan berdasarkan aliran kerja, skop tugasan ketua bazar, SOP bagi setiap proses, cara penggunaan aplikasi projek dan lain-lain.
“Pengalaman selama lapan tahun mengendalikan MYSaveFood Ramadan ini telah menjadikan buku panduan ini satu hub informasi lengkap untuk penganjur, ketua bazar dan juga para sukarelawan,” jelas kenyataan itu.
Baca lagi: Benarkah Syaitan al-Maradah yang diikat sepanjang bulan Ramadan?
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Program Malaysia Save Food (MYSaveFood) telah dilancarkan pada 2016 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ia sempena perasmian Konferens Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) Asian-Pacific Regional.
Jelas kenyataan itu, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SAVEFOOD oleh FAO bagi menangani masalah kehilangan dan pembaziran makanan di seluruh dunia sehingga menjejaskan bekalan makanan, alam sekitar dan sumber ekonomi negara.
“Projek MYSaveFood Ramadan merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan Food Waste Management di bazar Ramadan secara berstrategi.
“Ia melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar.
“Makanan yang diselamatkan adalah yang masih elok dan sesuai untuk dimakan/diminum,” katanya.
MARDI berkata, objektif program itu adalah bagi membudayakan satu sistem pengurusan sisa makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran sisa makanan yang berlaku dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.
Katanya, usaha itu juga membantu dalam mengurangkan penghasilan gas metana yang memberi kesan kepada pemanasan global.
Tambahnya, pada 2023, perancangan bagi program iyu adalah lebih sistematik dan jumlah penyertaan bazar dijangka akan meningkat memandangkan sambutan yang diterima oleh sukarelawan dan peniaga bazar adalah sangat menggalakkan