MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan beliau dihalang daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan selepas kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwanya telah membocorkan ‘rahsia kerajaan.’

Dalam video ceramah yang dimuat naik di akaun Facebooknya awal hari ini, Sanusi mendakwa perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh seorang pegawai kanan kerajaan yang menunjukkan salinan keputusan kabinet untuk menghalangnya daripada hadir ke majlis kerajaan persekutuan.

Sanusi mendakwa ia berpunca daripada ucapannya dalam khutbah di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini, di mana Pengarah Pilihan Raya PAS itu, mendakwa Anwar terpaksa menyampaikan sendiri pembentangan untuk Kementerian Kewangan dan bukannya dilakukan Ketua Setiausaha Perbendaharaan seperti kementerian lain

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat antara perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri negeri yang diadakan sempena mesyuarat Raja-raja Melayu pada hari yang sama yang turut dihadiri barisan menteri kabinet persekutuan.

“… apabila tiba masa pembentangan oleh Kementerian Kewangan, ia dibentangkan oleh menteri kewangan (Anwar) sendiri. Kerana dia letak KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dalam peti sejuk,” kata Sanusi.

“Selepas mesyuarat, saya ada ceramah di Sungai Besar. Semasa ceramah saya, saya cerita tentang pertemuan itu.

BERITA BERKAITAN Mat Sabu berbohong isu tempahan dewan Maeps – Setiausaha Politik Sanusi

“Saya kata pembentangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilakukan oleh seorang pegawai tetapi bagi Kementerian Kewangan, perdana menteri yang juga menteri kewangan sendiri terpaksa melakukannya kerana ketua setiausaha perbendaharaannya tidak hadir,” jelasnya lagi.

Sanusi turut mendakwa itu adalah alasan ‘membocorkan rahsia kerajaan’ yang digunakan oleh kabinet untuk menghalangnya daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan, termasuk di Kedah.

Mempersoalkan logik keputusan kabinet, Sanusi membidas kerajaan persekutuan yang didakwanya sebagai mundur kerana menghalangnya hanya disebabkan isu yang kecil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu juga mendakwa pendedahannya mengenai kejadian yang berlaku pada mesyuarat itu tidak dianggap sebagai rahsia.

“Jadi saya disekat daripada menyertai mana-mana acara persekutuan hanya kerana saya bercakap tentang Anwar Ibrahim membentangkan kertas kerja sendiri.

“Ini adalah alasan yang tidak masuk akal. Apakah rahsia di sini? Apa yang saya katakan (dalam ceramah) bukanlah sesuatu yang sulit. Identiti orang yang membentangkan kertas kerja bukan rahsia.

“Perkataan sulit ditulis di atas kertas, jadi kandungan kertas itu adalah rahsia. Saya hanya berkata siapa yang menyampaikan, bukan kandungan pembentangan,” kata Sanusi.

Sanusi baru-baru ini mendakwa dia disekat daripada menyertai sebarang program kerajaan pusat, termasuk program Lima di Langkawi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram