[VIDEO] Apa Salah Anak Lorong

Sebut tentang lorong gelap di Kuala Lumpur, pasti masyarakat akan menyebut antaranya Lorong Haji Taib, yang terkenal dengan aktiviti persundalan iaitu pelacuran selain penagihan dadah dan maknyah.

Namun di sebalik kisah gelap itu, lorong yang dahulunya hitam dengan noda, kini menjadi sebahagian kehidupan insan yang mengharapkan ihsan masyarakat untuk merubah masa hadapan menjadi lebih baik.

Mereka adalah anak lorong dan anak tanpa dokumen, yang dibesarkan dalam lorong gelap ini melalui usaha yang dilakukan sekelompok insan yang berhati mulia melalui program pendidikan, sara hidup dan bantuan lainnya.

UtusanTV menyelami perasaan anak lorong ini dalam program Malam Membelah Mimpi anjuran Patung-Patung Network & Services di lokasi Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Jib, 14 yang kami temui menyatakan ini, “jangan pandang kami dari luaran sahaja, selami hati kami dan lihat dari dalaman kami. Kami mahu berjaya juga seperti orang lain.’’

Nyata anak lorong tanpa dokumen ini mempunyai impian yang tinggi dan berhasrat meneruskan pembelajaran yang lebih baik.

“Saya mula memasuki Buku Jalanan Chow Kit ini pada tahun 2018 dan di sini saya belajar pelbagai ilmu antaranya adalah pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Bahasa Jepun,’’ katanya.

Buku Jalanan Chow Kit ditubuhkan pada 2016 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak di Chow Kit terutamanya di lorong Haji Taib.

Buku Jalanan Chow Kit bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada mereka yang kurang bernasib baik malah ia juga menjadi tempat pergantungan anak-anak lorong di sekitar kawasan Chow Kit untuk menumpang kasih dan harapan.

Aina, 13 berkongsi perasaan dan memberitahu, “salahkah kami yang tiada dokumen (kad pengenalan) ini untuk bergerak bebas, bersekolah dan mendapatkan pekerjaan kelak?’’

Katanya, dia berada di Buku Jalanan Chow Kit dengan perasaan berbaur kerana dia pernah bersekolah di tahfiz sebelum ini dan tidak dapat meneruskan pengajian kerana tiada dokumen.

“Emak saya jumpa Buku Jalan Chow Kit. Saya bertanya diri sendiri, kenapa saya kena masuk sekolah sebegini. Lama saya berfikir dan saya kata pada diri sendiri, takkanlah tanpa dokumen saya tidak mahu ke sekolah.,’’ jelasnya.

Dia akui tidak ramai kawan kerana satu peristiwa ini.

“Mereka tidak mahu berkawan dengan saya hanya kerana saya tiada dokumen. Salah ke orang yang tiada dokumen seperti saya. Tak apa lah, sekarang saya gembira, ramai kawan dan mereka yang berada di Buku Jalanan Chow Kit adalah keluarga saya,’’ katanya.

Sebahagian kanak-kanak yang merupakan pelajar di Buku Jalanan Chow Kit tekun mendengar bacaan puisi dalam program Malam Membelah Mimpi, di Kuala Lumpur.

Pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin memberitahu, apa yang penting dalam perjuangan mereka dalah memastikan setiap insan khususnya kanak-kanak lorong di Chow Kit ini mendapatkan pendidikan sebaiknya.

“Saya rasa yang paling penting dalam kehidupan manusia adalah memanusiakan manusia lain. Mendokong manusia lain. Buku Jalanan Chow Kit adalah usahasama yang percaya bahawa setiap kanak-kanak wajib mendapat pendidikan.

“Semua orang boleh menyatakan bahawa melalui pedidikanlah, ia akan dapat merubah sebuah kehidupan dan membawa manusia kepada satu tempat kita berada sekarang ini,’’ katanya.

Katanya, proses penghijrahan manusia itu sedang berlaku dan kadangkala kita tidak sedar kerana hal masing-masing.

Siti Rahayu menegaskan bahawa kanak-kanak lorong ini adalah insan yang sama seperti kita mereka berhak mendapat kehidupan dan kebahagian yang sempurna seperti kanak kanak yang lain. 

“Saya fikir kanak-kanak ini sepatutnya dibenarkan melalui proses ini dan dapat menyambung kehidupan,’’ jelasnya.

Selama hampir empat jam bersama anak lorong di Buku Jalanan Chow Kit ini, kami melihat kesungguhan mereka untuk mendapatkan kebahagian di dunia yang lebih bebas. Kami meninggalkan Buku Jalanan Chow Kit dengan menoleh ke belakang, ada lambaian kecil dari anak-anak ini.

“Nanti datang lagi ya,’’ kata salah seorang dari mereka. Kami melangkah menuju satu lagi destinasi dan kali ini, kisah menyedihkan insan terkesan di kehidupan Chow Kit bersama Penjejak Fakir Jalanan, Azhan Adnan atau dikenali sebagai Abbehae. 

Nantilah kami kongsikan kisah perjuangan Abbehae pulak.