PENYANYI, pelakon dan pengacara senior, Jaafor Onn berkongsi keadaan kesihatannya yang kini bertambah baik sejak di rawat di hospital bulan lalu.
Bagaimanapun jelas Jaafar, dia masih perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap sebulan dengan doktor.
“Saya masuk hospital bulan lalu disebabkan masalah paru-paru berair. Alhamdulillah sekarang ini saya dah kembali sibuk bekerja.
“Saya juga ambil suplemen tambahan selain itu saya kena juga berjumpa dengan doktor pada setiap bulan untuk pemeriksaan kesihatan.
“Sejujurnya, doktor dah periksa tahap kesihatan saya semuanya okay. Bacaan tekanan darah, paras gula dan kolestrol pun tak ada masalah.
“Saya juga tak ada penyakit jantung tapi saya kena hadkan minum air satu liter sehari sahaja,” katanya kepada URTV.
Kata Jaafar, pada usianya yang sudah masuk 72 tahun, karier seni dijadikan sebagai hobi dan kini dia lebih memfokuskan kepada kerja-kerja amal.
Walau bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana masih menerima tawaran kerja seni.
“Pada usia sekarang ini, karier seni saya jadikan sebagai hobi. Sebab itu saya tengok keadaan juga untuk terima tawaran persembahan.
“Tapi saya tetap bersyukur sebab selepas Aidilfitri, saya dah ada tawaran menyanyi dan berlakon.
“Saya sekarang ini lebih fokus pada kerja-kerja amal dengan melibatkan diri dengan program anak-anak yatim,” jelasnya.
Tak mahu dibayangi watak lelaki lembut
Sementara itu, Jaafar menyuarakan impiannya untuk membawakan watak seorang ayah yang dianiaya anak-anak.
Ujar Jaafar ia sekaligus mahu menepis dakwaan segelintir pihak yang melabelkan dirinya hanya sesuai untuk melakonkan watak lelaki lembut.
“Kadang-kadang orang kita juga yang menjatuhkan kita. Kata saya tak boleh itu, tak boleh ini. ‘Jaafar Onn tak boleh berlakon’.
“‘Jaafar Onn hanya boleh berlakon watak lembut dan tak boleh watak lain’. Saya rasa terkilan sangat-sangat.
“Bagi apa watak pun saya terima. Sekarang saya sedang mencari watak seorang ayah yang dianiaya oleh anak-anak. Watak ayah yang dah beri apa sahaja anak-anak nak tapi bila dah tua, dia dibuang oleh anak-anak. Saya sedang cari siapa yang boleh tawarkan watak begini pada saya.
“Saya boleh menangis. Selama ini orang ingat saya hanya boleh bawa watak lembut. Itu tak betul sebenarnya,” tegasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

