YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka menyifatkan serangan terhadap jemaah dan pencerobohan tempat suci umat Islam itu sebagai perbuatan keji dan tindakan zalim.
Kata beliau dalam kenyataan, Seri Paduka turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadan.
Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah juga menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencabuli hak asasi manusia serta kesucian Masjid Al-Aqsa.
“Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin serta menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan; sikap hormat-menghormati di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
“Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supara rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan segera membebaskan semua tahanan Palestin,” katanya dalam kenyataan Istana Negara, hari ini.
Baca artikel berkaitan: UNSC perlu pastikan Israel bertanggungjawab, desak pembebasan tahanan Palestin – PM
Mengulas lanjut, Zahari memaklumkan, Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia juga menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga bertitah agar kerajaan memainkan peranan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu padu membantu menangani masalah dihadapi Palestin.
Pada masa sama, Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.
“Seri Paduka turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat.
“Ia bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram