Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menerima peruntukan dana tambahan masing-masing berjumlah RM1 juta.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja 2023, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, dana kepada CUEPACS dan MTUC itu bagi memastikan pengurusan kedua-dua kongres pekerja itu lebih kemas dan cekap.

“Saya menghormati dan mengiktiraf kedua-dua kesatuan gergasi di negara kita ini.

“Saya nak pastikan pengurusan badan-badan ini lebih kemas dan cekap. Untuk itu, saya akan tambah RM1 juta kepada MTUC dan CUEPACS.

“Dana ini sebagai permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Agong, Permaisuri ucap selamat menyambut Hari Pekerja

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyeru pimpinan CUEPACS dan MTUC untuk bersama-sama kerajaan terus membela nasib pekerja.

Pada masa sama, beliau juga mahu menteri, ketua setiausaha kementerian dan jabatan berkenaan untuk memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan kesatuan sekerja untuk memberi pandangan.

Beliau menegaskan tidak mahu mendengar apa-apa masalah atau berlakunya ketegangan antara kesatuan sekerja, kerajaan dan juga majikan.

“Saya tak mahu ada apa-apa masalah dan ketegangan. Begitu juga dengan majikan.

“Ada yang kita boleh setuju, ada boleh tangguhkan dan ada yang kita tolak tetapi biarlah ada rundingan hati ke hati dalam kalangan majikan dan pekerja.

“Dulu kadang-kadang kita rasa ada ketegangan. Ada kalanya menteri enggan bertemu wakil-wakil kesatuan. Saya tak mahu dengar ini berlaku dalam pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram