Memelihara kucing di rumah bukanlah perkara yang mudah. Banyak yang perlu kita pelajari tentang penjagaan kucing dengan baik.
Kucing selalunya membuang najis di atas tanah atau pasir, kemudian akan menimbus kembali najisnya setelah selesai. Namun disebabkan keberadaannya di dalam rumah, sukar bagi si manja mencari tanah dan mengambil keputusan untuk membuang najis di merata-rata tempat.
Perkara ini pasti membuatkan kita bingung dan marah. Tambah-tambah lagi jika si comel terkencing di atas sofa. Bukan sahaja sukar dicuci malah baunya juga susah untuk dihilangkan.
Oleh itu, buat peminat kucing, siapkan diri dengan ilmu dan teknik penjagaan terlebih dahulu sebelum membela mereka supaya tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada diri, jiran dan tetamu.
Berikut adalah tip mengajar kucing anda membuang najis menggunakan ‘litter box’.
• Sediakan bekas pasir yang bersih dan sesuai untuk kucing. Pilih bekas yang besar supaya mudah untuk si comel masuk.
• Pastikan bekas pasir bertutup supaya pasir tidak bersepah dan berselerak di atas lantai kerana kucing biasanya akan menimbus kembali najisnya selepas membuang.
• Pilih pasir yang sesuai dengan selera kucing. Ada pasir yang wangi dan sesetengah kucing tidak suka pada wangian.
• Pastikan bekas pasir berada di tempat yang tenang dan mudah dilihat oleh si bulus kerana biasanya dia enggan menggunakannya sekiranya terlalu tersorok dan gelap.
• Letak si manja ke dalam bekas pasir setiap kali selepas makan atau minum. Perkara ini akan membantu mengajar kucing untuk menggunakan bekas pasir dengan konsisten.
• Jika kucing hanya diam tanpa reaksi, ambil kaki hadapan dan gerakkan kakinya seperti menguis-nguis untuk merangsang dirinya.
• Pantau pergerakan si manja dan pastikan dia menggunakan bekas pasir. Sekiranya anda melihat dia ingin membuang air besar di luar bekas pasir, segera ambil dan letakkannya di dalam bekas pasir.
• Sekiranya dia membuang di luar kawasan bekas pasir, bersihkan kawasan tersebut dengan baik sehingga hilang bau. Jika tidak, si manja akan menganggap kawasan itu sebagai tandasnya.
• Bercakap dan memujuk si comel menggunakan bekas pasir dengan memberi ganjaran atau pujian setiap kali dia menggunakan bekas pasir dengan betul.
• Sentiasa sabar dan jangan memarahi kucing anda jika berlaku insiden di luar jangkaan. Memberi hukuman boleh membuat kucing anda takut dan lebih sukar untuk diajar.
• Bersihkan bekas pasir secara berkala dan pastikan ia sentiasa bersih dan kering kerana kucing biasanya lebih suka bekas pasir yang bersih dan kering.