BEKAS Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasanah Abdul Hamid, meninggal dunia hari ini pada usia 66 tahun.

Menantunya, Khairil Qaiyum Aisha, mengesahkan perkara itu dan berkata Hasanah meninggal dunia sebelum waktu solat Jumaat hari ini di kediamannya di Desa Pinggiran Putra akibat kanser hati.

“Beliau disahkan menghidap kanser hati sejak September tahun lalu,” katanya dilaporkan portal FMT.

Jenazah dikebumikan di Pusara Taman Raudhatul Jannah Kajang.

Sebulan sebelum diagnosis menghidap kanser, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Hasanah daripada pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM50.4 juta wang kerajaan.

Pada 25 Oktober 2018, Allahyarham Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JPM, di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Bagaimana pun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan unit perisikan luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu daripada pertuduhan berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Hasanah supaya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut setelah tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram