DICERITAKAN pada zaman dahulu, ada seorang pemuda etnik Iban bernama Ketupong. Suatu hari, Ketupong masuk ke hutan seperti biasa untuk memburu. Anehnya hari itu kawasan hutan sunyi sepi. Tidak kedengaran siulan walau dari seekor burung pun seperti kebiasaannya.
Ketupong berjalan meredah denai untuk mencari hasil buruan. Hampir seharian dia merayau-rayau di dalam hutan sehingga dia tiba di sebatang anak sungai. Dia berhenti seketika untuk melepas lelah dan dahaga.
Ketika mahu mencedok air untuk mencuci muka, tiba-tiba Ketupong ternampak seekor burung enggang yang memerhatinya dari jauh. Tanpa berlengah, Ketupong menyumpit burung tersebut. Sumpitannya mengena dan burung itu jatuh ke tanah.
Ketupong pun berlari ke tempat burung itu jatuh. Tapi dia hairan, sebaik tiba di situ, tidak kelihatan burung enggang yang disumpitnya. Bagaimana burung itu boleh hilang sedangkan dia yakin sumpitannya tepat mengenai burung tersebut.
Dalam kehairanan itu, tiba-tiba Ketupong terdengar suara wanita yang sedang merengek kesakitan. Apabila dia menoleh ke belakang, dia terkejut melihat seorang perempuan yang cantik rupa parasnya, sedang menahan sakit akibat disumpit. Kasihan dengan perempuan itu yang cedera, ditambah pula hari sudah mulai senja, Ketupong membawa perempuan itu pulang ke rumah agar boleh dirawat.
Perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Inchin itu setuju mengikut Ketupong pulang namun dengan satu syarat. Dia meminta agar Ketupong tidak bertanya tentang asal usulnya. Sebagai ganti, dia akan mengikut apa sahaja kemahuan Ketupong.
Tiba di rumah panjang, Ketupong memperkenalkan perempuan cantik bernama Inchin itu kepada keluarganya. Malah, Ketupong turut memberitahu kehendak hatinya kepada keluarganya bahawa dia mahu menjadikan Inchin sebagai isterinya. Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, Inchin memberitahu Ketupong bahawa dia sudi menjadi isterinya dengan syarat, Ketupong tidak boleh sesekali mempersoalkan apa yang dilakukannya. Ketupong yang sedang mabuk cinta setuju sahaja dengan syarat tersebut.
Mereka berdua pun dikahwinkan. Hidup mereka sebagai suami isteri bahagia sehinggalah sembilan bulan kemudian, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.
Selepas Inchin melahirkan anak mereka, Ketupong mula rasa sesuatu yang pelik. Dia sering melihat isterinya yang gemar mendongak ke langit. Terlupa syarat yang pernah disetujuinya dahulu, Ketupong bertanyakan tentang perbuatan tersebut kepada isterinya. Namun, Inchin hanya menjawabnya dengan senyuman.
Kemudian, Ketupong sering melihat isterinya menenun dua pasang baju. Sekali lagi Ketupong bertanya, baju siapa yang ditenunnya itu? Masih sama, Inchin hanya menjawab dengan senyuman.
Suatu hari Inchin mengajak Ketupong berbual mesra. Ketika itulah Inchin memperkenalkan dirinya sebagai Inchin Temaga, iaitu anak perempuan kepada Dewa Singalang Burong yang berasal dari kayangan. Terkejutlah Ketupong dan tidak menyangka bahawa selama ini dia telah memperisterikan anak kepada dewa masyarakat Iban yang amat dihormati dan suci.
Di kesempatan itu, Inchin meminta izin Ketupong untuk pulang menjenguk ayahnya, selain merindui kampung halaman dan keluarganya. Demi kasihnya, Ketupong mengizinkan Inchin untuk pulang ke kayangan dengan syarat, tidak boleh membawa anak lelaki mereka.
Walaupun berat hatinya, Inchin bersetuju dengan syarat tersebut. Bahkan dia sempat berpesan, sekiranya Ketupong dan anak mereka merinduinya, hendaklah mereka memakai baju yang telah ditenunnya. Dengan itu, mereka akan sampai ke kayangan. Tiba harinya, Inchin pun pulang ke kayangan setelah bertukar menjadi seekor burung enggang yang besar.

HARI berganti hari, bulan berganti bulan, Ketupong masih setia menanti kepulangan Inchin. Namun kelibat Inchin tidak pernah lagi kelihatan. Dalam kepayahan membesarkan anaknya, atas kehendak keluarga, Ketupong telah berkahwin sekali lagi dengan seorang wanita di dalam komuniti rumah panjangnya. Ketupong juga sudah tidak mampu menjawab desakan anak lelaki tunggalnya yang sering bertanyakan ibunya, Inchin.
Suatu hari, Ketupong dan anaknya memakai dua helai baju yang ditinggalkan Inchin. Tidak semena-mena mereka berdua bertukar menjadi burung enggang dan berjaya terbang ke kayangan.
Apabila tiba di istana kayangan, Ketupong dan anaknya telah disambut oleh seorang lelaki yang gagah perkasa yang memperkenalkan diri sebagai Singalang Burong, yakni dewa masyarakat Iban. Singalang juga merupakan ayah kepada Inchin.
Akhirnya, bertemulah Ketupong dan anaknya dengan Inchin. Alangkah bahagianya Inchin kerana dapat bersatu kembali dengan anaknya. Namun begitu Inchin tidak mahu menerima Ketupong memandangkan suaminya itu sudah pun mempunyai isteri yang lain di bumi. Dengan penuh hormat, Inchin memohon Ketupong kembali semula ke pangkuan keluarganya di bumi, dan biarlah dia dan ayahnya yang menjaga dan membesarkan anak lelaki mereka.
Akur dengan permintaan tersebut, Ketupong kembali ke bumi dengan meninggalkan anak lelakinya bersama ibunya. Sebelum pulang, Ketupong disuruh menghadap Singalang Burong. Dalam pertemuan itu, Singalang memberitahu Ketupong agar jangan risau tentang anak lelakinya yang juga cucu Singalang. Anak itu akan diajar segala kepakaran ilmu perang dan sakti warisan Singalang Burong.
Singalang juga meminta Ketupong memberitahu masyarakat Iban di bumi agar jangan khuatir sekiranya ada sesuatu yang berlaku. Jika diseru, Singalang Burong akan turun ke bumi untuk membantu.
Maka, kembalilah Ketupong ke bumi seorang diri. Dia telah menyampaikan pesanan Singalang Burong kepada masyarakat Iban di bumi. Dan sejak itu diceritakan bahawa masyarakat Iban sering memohon semangat Singalang Burong untuk membantu permasalahan mereka.
Kisah di atas adalah salah satu kisah legenda tentang burung kenyalang dalam masyarakat Iban di Sarawak. Kisah ini mungkin mempunyai beberapa versi cerita yang lain, namun ia merupakan salah satu kisah hikayat yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi.
Burung Kenyalang merupakan ikon negeri Sarawak. Sebab itu Sarawak juga dikenali dengan jolokan ‘Sarawak Bumi Kenyalang’. Malah, burung ini juga mempunyai pelbagai kisah mitos dan legenda untuk kaum pribumi Sarawak.
Terdapat pelbagai jenis burung kenyalang. Burung enggang merupakan spesies kenyalang paling terkenal yang juga dijadikan simbol negeri Sarawak.
Burung Kenyalang dikategorikan sebagai spesies burung enggang terbesar di dunia. Ia banyak terdapat di Kepulauan Borneo dan merupakan spesies terlindung di bawah undang-undang Perhilitan Malaysia.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram