Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium pada jun tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PELAKON Sharnaaz Ahmad sudah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan tahun lalu.

Peguam yang mewakili Sharnaaz iaitu Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, representasi berkenaan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa lalu.

“Pihak kami baru menghantar representasi pada 2 Mei lalu kerana terdapat beberapa dokumen dan perkara yang perlu diselesaikan. Ada kemungkinan pengadu tidak mahu meneruskan kes, namun tiada kepastian.

“Saya tidak mahu mahkamah beranggapan pihak pembelaan sengaja melambatkan kes. 

“Saya juga memohon tarikh keputusan representasi pada Julai kerana mempunyai beberapa kes lain pada bulan ini dan Jun,” katanya.

Abu Bakar ditemui selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Kuala Lumpur pagi tadi selesai dilakukan. 

Terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh hari ini bagi Sharnaaz mengemukakan representasi untuk mengkaji semula pertuduhan terhadapnya.

Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Berdasarkan pendakwaan, bintang filem Juvana itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium, pukul 8.30 malam pada 16 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin yang mengendalikan kes tidak membantah tarikh dipohon peguam.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 10 Julai ini bagi keputusan representasi.

Sementara itu, Sharnaaz berharap kes tersebut  dapat diselesaikan dengan baik.

“Insya-Allah dari awal kes ini dibicarakan, saya memang nak selesaikan dengan cara baik. Tak ada apa-apa pun yang nak ditinggalkan di belakang.

“Tapi kalaulah kesudahan tidak seperti dijangkakan, saya bersedia untuk ke perbicaraan,” katanya